56 PPR bakal terima manfaat internet percuma
Berita RTM, 24 Februari 2023
KUALA LUMPUR, 24 Februari- Kerajaan akan menyediakan capaian internet percuma di 56 Program Perumahan Rakyat (PPR) terpilih untuk manfaat komuniti setempat.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, sebanyak RM50 juta akan diperuntukkan kepada Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) bagi memastikan keadaan yang selamat di PPR.
"Keutamaan kepada mengganti lif-lif yang telah usang. Bagi mempercepat proses perolehan, had sebut harga perolehan kerja penyelenggaraan dan pembaikan lif ditingkatkan kepada RM1.2 juta berbanding RM500,000," katanya dalam pembentangan Belanjawan 2023 Malaysia Madani di Parlimen, hari ini.
Pada masa sama, RM15 juta ringgit disediakan untuk menyokong usaha pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dalam mengadakan kelas pemulihan untuk anak-anak yang masih tercicir dalam pembelajaran, manakala RM30 juta disediakan bagi mempergiat aktiviti ekonomi rakyat seperti perusahaan makanan menggunakan platform 'Cloud Kitchen' di bawah seliaan Yayasan Hasanah.
Jelas perdana menteri, beberapa projek PPR baharu sedang dilaksanakan melibatkan peruntukan RM367 juta untuk manfaat 12,400 bakal penghuni baharu.
Selain itu, program Rumah Mesra Rakyat di bawah Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) turut melibatkan pembinaan 4,250 unit rumah dengan peruntukan RM358 juta ringgit.
"Syarikat Jaminan Kredit Perumahan (SJKP) sedia menjamin sehingga RM5 bilion nilai pinjaman untuk manfaat 20,000 peminjam memerlukan.
"Bagi terus menggalakkan pemilikan rumah, kerajaan akan meneruskan pengecualian duti setem bagi pemilikan rumah pertama dengan pengecualian sepenuhnya duti setem bagi rumah bernilai RM500,000 ke bawah dan pengecualian duti setem 75% untuk rumah bernilai lebih RM500,000 hingga RM1 juta," katanya.
(Web source: https://berita.rtm.gov.my/index.php/semasa/58034-56-ppr-bakal-terima-manfaat-internet-percuma)