700 projek rumah lewat siap, sakit dan terbengkalai dikenal pasti
Berita Harian, 2 Mac 2023
(Gambar fail) Timbalan Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan, Akmal Nasrullah Mohd Nasir.
KUALA LUMPUR: Sebanyak 166 projek perumahan lewat siap, 437 projek sakit dan 115 projek terbengkalai dikenal pasti hingga 31 Januari lalu, kata Timbalan Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan, Akmal Nasrullah Mohd Nasir.
Beliau berkata, secara keseluruhan tahun ini, Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) mengunjurkan terdapat 354 projek lewat dan 538 projek sakit sekiranya tiada intervensi daripada kerajaan.
"Apabila kita menubuhkan 'taskforce' (pasukan petugas) projek perumahan swasta yang sakit dan terbengkalai, kita tumpu empat peranan, iaitu 'tracking' (mengesan), 'resolve' (menyelesai), 'preventive' (mencegah) dan 'forward modelling' (pemodelan ke hadapan).
"Semalam, apabila saya turun ke satu tapak projek rumah sakit, kita mendapati trend 2023 dalam keadaan meningkat dan untuk berlaku telus serta jujur, maka 'data tracking' (pengesanan data) yang kita buat bukan hanya mengikut kelas sedia ada, iaitu lewat, sakit dan terbengkalai tetapi juga 'taskforce' menilai dari segi unjuran yang akan berlaku tahun ini," katanya.
Akmal Nasrullah menjawab soalan tambahan Onn Abu Bakar (PH-Batu Pahat) mengenai jumlah projek sakit dan terbengkalai hingga tahun ini, pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat, hari ini.
Dalam pada itu, beliau berkata, seramai 15,024 peminjam mendapat manfaat Skim Jaminan Kredit Perumahan (SJKP) melalui pembiayaan keseluruhan RM1.91 bilion.
Katanya, skim itu merupakan pembiayaan perumahan tanpa perlu membayar wang pendahuluan, dan ditawarkan kepada golongan yang tidak mempunyai pendapatan tetap atau kumpulan gig ekonomi.
Sementara itu bagi membantu pembeli rumah pertama, beliau berkata, KPKT melaksanakan inisiatif seperti Pembiayaan Perumahan Malaysia (i-Biaya) dengan kerjasama Kementerian Kewangan.
KPKT turut mengumumkan inisiatif i-Miliki yang membabitkan pemberian insentif pengecualian duti setem ke atas surat cara pindah milik dan perjanjian pinjaman untuk pembelian rumah pertama bagi rumah berharga hingga RM1 juta. – BERNAMA
(Web source: https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2023/03/1071518/700-projek-rumah-lewat-siap-sakit-dan-terbengkalai-dikenal-pasti)