8,000 Kediaman Bumiputera Ditawar Di Ekspo Rumah BPEX 2024
Sumber Kini, 11 May 2024
KUALA LUMPUR: Sebanyak 8,000 unit rumah bumiputera ditawarkan dengan anggaran RM6 bilion di Ekspo Rumah BPEX 2024, Mid Valley pada 11 dan 12 Mei.
Pengarah Urusan Marvel Management Communication (MMC) Sdn Bhd, Datuk Nor’ashikin Taib berkata pasaran hartanah di negara ini akan terus berkembang tahun ini memandangkan banyak inisiatif berterusan yang disediakan.
“Inisiatif bersasar kerajaan, termasuk Skim Jaminan Kredit Perumahan dengan peruntukannya dinaikkan kepada RM10 bilion di bawah Belanjawan 2024, dapat mengurangkan kos pemilikan rumah bagi pembeli dan boleh dimanfaatkan oleh 40,000 peminjam.
“Dasar fiskal kerajaan, seperti pengecualian penuh duti setem untuk pembeli rumah kali pertama (bagi RM500,000 dan ke bawah) sehingga penghujung 2025, juga akan menggalakkan pemilikan rumah di negara ini.
“Separuh pertama 2024 ini menyerlahkan permintaan tinggi berterusan untuk perumahan mampu milik, terutamanya dalam kalangan pekerja berpendapatan rendah dan keluarga muda,” katanya dalam majlis perasmian Ekspo Rumah BPEX 2024 pada Sabtu.
Nor’ashikin turut menegaskan walaupun isu mampu milik masih membelenggu pasaran, namun menjangka permintaan hartanah kediaman kekal dominan, dengan perubahan harga, rekabentuk dan lokasi.
“Seiring dengan jangkaan pertumbuhan ekonomi yang menyederhana, kami meminta kerajaan untuk menangani cabaran lebih besar seperti kos sara hidup dan pendapatan yang tepu,” katanya.
Hampir 50 syarikat perumahan terlibat dalam Ekspo Rumah BPEX 2024 ini, antaranya Glomac Bhd, Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS), Tropicana, Sunsuria, Mah Sing, Sime Darby, Skyworld dan banyak lagi turut menawarkan pakej perumahan menarik.
(Web source: https://sumberkini.my/8000-kediaman-bumiputera-ditawar-di-ekspo-rumah-bpex-2024/)