850,000 pekebun, pesawah, nelayan dapat RM200 bantuan Aidilfitri

Bebas News, 29 Mac 2023

KUALA LUMPUR — Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan empat inisiatif tambahan dalam Belanjawan 2023 termasuk menyalurkan Bantuan Khas Kewangan Aidilfitri sebanyak RM200 kepada 850,000 pekebun kecil getah, pesawah dan nelayan.

Perdana Menteri berkata penambahan tersebut adalah bantuan terbesar yang pernah diberikan kerajaan kepada golongan nelayan, pesawah dan pekebun kecil.

“Memandangkan keadaan hidup rakyat ini masih terasa, … saya teliti mana kohort yang tidak peroleh manfaat sebelum ini, masih ada masalah terutama pada bulan Ramadan dan Aidilfitri.

“Maka saya bersetuju salurkan Bantuan Khas Kewangan Aidilfitri kepada 850,000 pekebun kecil getah, pesawah dan nelayan sebanyak RM200 lagi, tambahan (kepada) apa yang telah diumumkan. Hal ini akan menelan belanja RM170 juta ringgit,” katanya.

Anwar yang juga Menteri Kewangan mengumumkan demikian ketika membentangkan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2023 (Belanjawan 2023) bagi bacaan kali kedua di Dewan Negara hari ini.

Dalam Belanjawan 2023 sebelum ini, kerajaan mengumumkan bantuan RM300 sebulan kepada nelayan dan RM200 sebulan untuk pesawah bagi tempoh tiga bulan semusim serta menaikkan sumbangan musim tengkujuh daripada RM600 kepada RM800 untuk tempoh empat bulan kepada pekebun kecil getah.

Selain itu, sebanyak 200,000 anggota sukarelawan Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela), Angkatan Pertahanan Awam, sukarelawan polis dan bomba turut menerima ‘duit raya’ apabila kerajaan bersetuju memberikan sagu hati sebanyak RM300.

Beliau turut mengumumkan pelanjutkan pelepasan cukai pendapatan individu, sehingga RM8,000 untuk simpanan bersih tahunan dalam Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN) sehingga 2024.

“Setelah mendengar keresahan disuarakan dan teguran kepada kerajaan (selepas pengumuman semalam), maka saya bersetuju untuk melanjutkan pelepasan cukai SSPN ini.

“Cadangan ini melibatkan kehilangan hasil kerajaan sekitar RM250 juta setahun, namun memberi manfaat kepada sekitar 400,000 pembayar cukai,” katanya.

Keputusan itu diumumkan sehari selepas Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN, Datuk Dr Mohd Nizom Sairi memaklumkan, pembayar cukai yang mencarum dalam SSPN tidak lagi layak menuntut pelepasan cukai individu hingga RM8,000 mulai Tahun Taksiran 2023.

Anwar turut mengumumkan mulai 1 April tahun ini, kerajaan akan memperluaskan sasaran Syarikat Jaminan Kredit Perumahan (SJKP) terhadap golongan berpendapatan tetap dan tidak tetap, bagi memiliki kediaman pertama yang memberi manfaat kepada golongan B40 dan M40.

Dalam Belanjawan 2023 yang dibentangkan pada 24 Feb lepas, SJKP telah ditambah baik dengan meningkatkan dana jaminan pembiayaan daripada RM3 bilion kepada RM5 bilion untuk membantu pembeli rumah kali pertama, terutamanya mereka yang tidak berpendapatan tetap.

Sementara itu, Anwar berkata kerajaan akan turut memberi keutamaan kepada pengisian jawatan perkhidmatan awam dalam sektor kritikal khususnya bidang kesihatan serta pendidikan dan hal ini dijangka melibatkan perbelanjaan tambahan sehingga RM800 juta ringgit untuk tahun ini.

Menurutnya Belanjawan 2023 termasuk inisiatif baharu ini adalah bukti komitmen Kerajaan Perpaduan untuk membawa perubahan kepada negara Malaysia, selain bukti ketegasan kerajaan untuk menambah baik tadbir urus bagi menjamin menjamin kesejahteraan rakyat keseluruhannya.

Disebabkan tanggungjawab ini besar, Anwar berkata semua pihak perlu memainkan peranan bagi menjayakannya.

— BebasNews

 

(Web source: https://bebasnews.my/2023/03/29/850000-pekebun-pesawah-nelayan-dapat-rm200-bantuan-aidilfitri/)