Alternatif Beli Rumah Dengan Bantuan Kerajaan
Sumber Kini, 9 Mei 2023
Pameran Harta Tanah
PETALING JAYA: Gaji kecil, tiada pendapatan tetap dan tidak mempunyai slip gaji antara faktor utama kebanyakan rakyat Malaysia tidak membeli rumah.
Namun dengan penubuhan Syarikat Jaminan Kredit Perumahan Berhad (SJKP) inisiatif kerajaan ini sebenarnya dapat membantu golongan tidak berkemampuan seperti petani dan peniaga kecil mendapatkan kemudahan kewangan bagi pembelian rumah.
SJKP di bawah Menteri Kewangan Diperbadankan memperuntukkan sebanyak RM5 bilion untuk membantu bakal pembeli rumah kali pertama dengan had pembiayaan sehingga RM500,000.
Justeru, Pameran Harta Tanah Bumiputera (BPEX) 2023 yang memperkenalkan SJKP ini adalah alternatif terbaik bagi anda yang mahu memiliki rumah namun masih ragu-ragu dengan kemampuan sendiri.
Pengarah Urusan Marvel Management Communication (MMC), Dato’ Nor’ashikin Taib berkata, SJKP akan membantu bakal pembeli yang mempunyai pendapatan serendah RM1,000 ke RM11,000 dan tidak mempunyai rumah.
“Jadi mereka yang susah untuk mendapatkan pembiayaan perumahan, sangat digalakkan untuk hadir ke BPEX 2023 bagi mendapatkan maklumat lanjut,” katanya ketika ditemui SUMBERKINI.
Beliau turut berharap agar pameran BPEX ini dapat meningkatkan pemilikan ekuiti bumiputera dalam bidang hartanah dari semasa ke semasa.
Bagi yang berminat untuk memohon SJKP, antara syarat kelayakan permohonan ialah anda mestilah warganegara Malaysia yang berumur 18 tahun ke atas. Selain itu, jumlah bayaran balik kesemua pinjaman pemohon mestilah tidak melebihi 65 peratus pendapatan kasar bulanan.
Anda boleh mendapatkan maklumat lanjut mengenai skim ini menerusi laman web rasmi SJKP atau boleh hadir ke pameran BPEX 2023. BPEX akan berlangsung pada 27 dan 28 Mei ini di Dewan 3, Pusat Pameran Mid Valley (MVEC) bermula 11 pagi hingga 9 malam.
(Web source: https://sumberkini.my/alternatif-beli-rumah-dengan-bantuan-kerajaan/)