Belanjawan 2026 perkasakan reformasi perumahan, perluas akses kepada rumah mampu milik, kata Amir Hamzah

Dagang News, 4 September 2025

PUTRAJAYA 4 Sept – Ketika persiapan bagi Belanjawan 2026 yang akan diumumkan pada Oktober sedang dijalankan, kerajaan juga akan meneliti mekanisme sokongan untuk memperkukuh reformasi perumahan, dengan tumpuan khusus kepada usaha memperluaskan akses kepada rumah mampu milik.

Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata kerajaan komited untuk memastikan lebih ramai rakyat Malaysia, khususnya dalam kalangan golongan berpendapatan rendah dan sederhana, dapat memiliki rumah yang selaras dengan kemampuan kewangan mereka.

Menurutnya, pembaharuan di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) turut direka bentuk bagi menangani cabaran perumahan, termasuk pembangunan model baharu seperti skim sewa-untuk-milik serta peralihan secara berperingkat kepada pendekatan bina-dulu-jual kemudian bagi mengurangkan risiko projek terbengkalai.

“Perumahan mampu milik akan terus menjadi keutamaan Malaysia pada masa hadapan, dan kami sedang melihat mekanisme baharu untuk memastikan lebih ramai orang dapat memiliki dan mampu membeli rumah,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Sistem Maklumat Hartanah Malaysia (PRISM) 2.0 di sini pada Khamis.

Mengulas mengenai peningkatan unit kediaman tidak terjual (overhang) sejak suku pertama tahun ini, Amir Hamzah berkata pasaran hartanah secara keseluruhan kekal stabil, tetapi pembaharuan diperlukan untuk menangani isu struktur.

“Kuncinya bagi kami ialah pasaran secara keseluruhan masih stabil. Yang penting adalah menyokong segmen yang paling memerlukan, terutamanya perumahan mampu milik,” katanya.

Amir Hamzah berkata kemampuan perumahan sangat berkait rapat dengan paras pendapatan, sambil menekankan bahawa kerajaan telah melaksanakan pelbagai pembaharuan pasaran buruh untuk memperkukuh kuasa beli isi rumah.

“Kita telah melihat inisiatif seperti kenaikan gaji minimum, dorongan ke arah gaji progresif, dan galakan kepada syarikat untuk mengguna pakai gaji sara hidup. Langkah-langkah ini bertujuan meningkatkan kemampuan dengan menaikkan paras pendapatan,” katanya.

Bagi melengkapi langkah-langkah ini, Amir Hamzah menyorot Skim Jaminan Kredit Perumahan (SJKP), yang membolehkan mereka yang tiada pendapatan tetap mendapatkan pinjaman perumahan melalui jaminan kerajaan.

Beliau berkata, ini adalah penyelesaian kreatif untuk membantu rakyat memiliki rumah pertama.

“Tetapi yang paling penting ialah membetulkan asas kemampuan di negara ini, termasuk memperkukuh tahap pendapatan,” katanya.

Amir Hamzah menambah, di bawah RMK13, kerajaan menyasarkan peningkatan bahagian buruh dalam ekonomi daripada 33% kepada 40%.

Beliau juga menegaskan, peluasan cukai jualan dan perkhidmatan (SST) tidak akan member Kesan kepada sektor perumahan kediaman.

“Pembinaan dan bekalan bahan untuk projek kediaman adalah dikecualikan daripada SST. Niatnya adalah untuk melindungi kemampuan rakyat, sementara sektor komersial menanggung sebahagian cukai tersebut,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Amir Hamzah mengesahkan pelan rasionalisasi subsidi bahan api RON95 kekal mengikut jadual pelaksanaan sebelum akhir 2025, dengan menggunakan sistem kad pengenalan nasional (IC) bagi memastikan subsidi dimanfaatkan oleh mereka yang paling memerlukan.

“Kami telah nyatakan sebelum ini, pelan subsidi RON95 akan dilaksanakan sebelum akhir tahun ini. Ia akan menggunakan IC dan sistem yang betul supaya majoriti rakyat akan menerima subsidi,” tambahnya. - DagangNews.com

 

(Web Source: https://www.dagangnews.com/article/terkini/belanjawan-2026-perkasakan-reformasi-perumahan-perluas-akses-kepada-rumah-mampu-milik-kata-amir-hamzah-57276)