Belanjawan MADANI 2024, falsafah ekonomi negara PMX

Berita Harian, 27 Oktober 2023

Anwar membentangkan Belanjawan 2024 di Dewan Rakyat, 13 Oktober lalu. - Foto PMO

BELANJAWAN 2024 adalah belanjawan penuh di bawah 'karya' Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memandangkan Belanjawan 2023 mempunyai sedikit penambahbaikan kepada apa yang dirangka Menteri Kewangan dan kerajaan sebelumnya.

Belanjawan 2023 dibentangkan Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz pada 7 Oktober 2022 memperuntukkan RM388.1 bilion dengan RM289.1 bilion bagi belanja mengurus, manakala RM99 bilion bagi perbelanjaan pembangunan.

Selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) pada 19 November 2022 dan berlaku pertukaran kerajaan yang menyaksikan Anwar diangkat sebagai Perdana Menteri dan turut memegang portfolio Menteri Kewangan, beliau mengumumkan empat inisiatif tambahan dalam Belanjawan 2023 pada Februari lalu.

Inisiatif tambahan baharu itu membabitkan bantuan Aidilfitri, melanjutkan pelepasan cukai individu dan berkaitan peruntukan kredit perumahan menerusi Syarikat Jaminan Kredit Perumahan (SJKP).

Ramai mungkin lupa Anwar pernah memegang jawatan Menteri Kewangan selama tujuh tahun bermula 15 Mac 1991 hingga 2 September 1998. Ketika itu Malaysia dan banyak negara serantau berada dalam tempoh kebangkitan 'Harimau Asia'.

Penulis antara ramai rakyat Malaysia mengikuti beliau sejak waktu itu, walaupun pada 1991 masih dalam tahun pertama pengajian kedoktoran di Universiti Iowa, Amerika Syarikat (AS).

Selepas menyempurnakan pengajian doktor falsafah (PhD) pada Mei 1993, perjalanan kedoktoran saya bermula dengan bidang statistik pada 1989, beralih ke bidang ekonomi pada 1990 melalui Kulliyyah Ekonomi dan Sains Pengurusan, Universiti Islam Antarabangsa (UIA).

Bertukar ke bidang kewangan pada lewat tahun 1990-an bukan kerana Anwar akan menjadi Menteri Kewangan, malah didorong beliau ketika itu untuk mengambil PhD dalam bidang ekonomi. Pada masa sama, sahabat karib saya, Dr Rahim Ghouse pula sedang mengambil PhD dalam bidang sosiologi.

Berbalik kepada pelantikan Anwar sebagai Menteri Kewangan, ia mengundang kritikan dengan tohmahan beliau 'tiada latar belakang ekonomi dan kewangan'.

Ini disebut bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan bekas Menteri Kewangan, Tun Daim Zainuddin kepada saya dengan persoalan 'Apalah Anwar tahu pasal kewangan?' sewaktu krisis kewangan Asia melanda pada 1998.

Perlu dijelaskan di sini ahli ekonomi dan kewangan mungkin adalah golongan paling cocok menjadi menteri kewangan. Mereka boleh sahaja menjadi ahli bank pusat, perbankan, kewangan dan lain-lain.

Cuba lihat latar belakang menteri kewangan berjaya di dunia. Kalau di AS dipanggil Setiausaha Perbendaharaan, contohnya Bob Rubin. Jika di United Kingdom (UK) dipanggil 'Chancellor of the Exchequer', seperti Gordon Brown. Latar belakang mereka bukan pendidikan atau ijazah ekonomi atau kewangan.

Bahkan di Malaysia kita ada Dr Mahathir yang memiliki latar belakang akademik sebagai doktor perubatan, manakala Daim memiliki pendidikan undang-undang dan ahli perniagaan.

Bidang ekonomi lebih mirip kepada falsafah. Sebab itulah pada peringkat awal pembangunan ilmu ekonomi sebagai cabang ilmu khusus, ia berada di bawah jabatan falsafah.

Ahli falsafah ekonomi

Tidak keterlaluan jika hendak menyatakan bahawa Perdana Menteri adalah seorang ahli falsafah ekonomi, iaitu suatu bidang yang beliau adalah ahli ulung pada zaman moden ini. Ekonomi MADANI yang beliau ketengahkan adalah 'pemikiran ekonomi dan falsafah Anwar Ibrahim'.

Permasalahannya, tumpuan perbincangan Belanjawan 2024 setakat ini menunjukkan tidak ramai dapat mendalami apakah pemikiran dan falsafah beliau kemukakan.

Namun, berikut adalah antara inti pati pemikiran serta falsafah cuba diketengahkan Anwar sebagai Menteri Kewangan:

  • Mengimbangkan ekonomi makro dan mikro

Ia bermatlamat mencari keseimbangan yang baik antara permintaan ekonomi mikro (kos sara hidup melawan kuasa membeli) dan permintaan ekonomi makro (bebanan hutang negara, defisit fiskal dan pertumbuhan ekonomi), serta menaikkan cukai sambil mengurangkan bebanan subsidi.

  • Kesenjangan ekonomi antara arus perdana nasional dengan wilayah dan sub-wilayah lain.

Ini bermaksud, mencari tahap optimum di sini adalah paling sukar kerana terdapat elemen kerumitan (complexity), keserentakan (simultaneity), serta ketidakentuan lampau (radical uncertainties atau chaos).

  • Merapatkan kesenjangan ekonomi dalam masyarakat majmuk serta pelbagai, yakni jurang pendapatan, jurang kekayaan dan lain-lain.
  • Merangsang ekonomi dengan pembabitan swasta secara lebih meluas, iaitu beralih daripada 'kerajaan serba buat'.

Rasionalnya, Belanjawan 2024 adalah 'lakaran' serta 'lukisan' Anwar mengenai hala tuju serta masa depan Malaysia berdasarkan pemikiran falsafah itu.

Penulis adalah Pengasas Yayasan HARAPAN

 

(Web source: https://www.bharian.com.my/rencana/lain-lain/2023/10/1169739/belanjawan-madani-2024-falsafah-ekonomi%C2%A0negara%C2%A0pmx)