EXPO BPEX Kembali Lagi, Lebih ‘Havoc’ Dengan Tagline Seronoknya Ada Rumah

Sumber Kini, 03 Oktober 2023

PETALING JAYA: Selepas kejayaan Pameran Harta Tanah Bumiputera Lembah Klang (BPEX) yang mendapat sambutan memberangsangkan pada Mei sebelum ini, syarikat pengurusan acara hartanah MMC Sdn Bhd sekali lagi menganjurkan Expo Rumah BPEX dengan tagline yang lebih meriah ‘Seronoknya Ada Rumah’.

Pengarah Urusan MM, Datuk Nor’ashikin Taib berkata Expo Rumah kali ini memfokuskan penjualan rumah mampu milik sekitar RM300,000 di Kuala Lumpur dengan pelbagai bantuan daripada agensi kerajaan terlibat khususnya kepada pembeli bumiputera.

“Dengan niat mahu membantu bumiputera yang masih belum memiliki rumah, maka kami sekali lagi melaksanakan pameran Expo Rumah BPEX ini. Antara keistimewaannya ialah insentif pengecualian duti setem 100 peratus bagi rumah RM500,000 dan ke bawah.

“Insentif ini juga merangkumi surat cara pindah milik dan perjanjian pinjaman bagi pembelian rumah pertama,” katanya kepada SUMBERKINI.

Selain duti setem, beliau juga menyatakan insentif kerajaan menerusi Skim Jaminan Kredit Perumahan (SJKP) dijangka menarik perhatian para pembeli terutamanya mereka yang bekerja sendiri dan tidak mempunyai slip gaji.

“Penjaja dan golongan yang tidak mempunyai slip gaji boleh mendapatkan sokongan daripada penghulu. Surat sokongan yang dikeluarkan penhulu akan menyatakan semua butiran yang diperlukan pihak bank yang menyokong skim SJKP,” katanya.

Pameran Expo Rumah BPEX akan diadakan selama dua hari berturut-turut bermula 4 hingga 5 November ini. Seramai 50 pemaju perumahan terkemuka akan memberi tawaran menarik yang tidak harus dilupakan. Ia akan diadakan di Dewan 3, Pusat Pameran Mid Valley (MVEC) Kuala Lumpur.

 

(Web source: https://sumberkini.my/expo-bpex-kembali-lagi-lebih-havoc-dengan-tagline-seronoknya-ada-rumah/)