Hartanah Dah Jadi Darah Daging, Nor’ashikin Terus Bantu Bumiputera

Sumber Kini, 08 Oktober 2023

Pengarah Urusan MM, Datuk Nor’ashikin Taib

BERGELUMANG dengan dunia hartanah korporat tidak pernah memberi kepuasan total kepadanya. Seakan-akan ada sesuatu yang hilang dalam perjalanan dan arah tuju industri hartanah itu sendiri.

Sampailah satu ketika, terdetik di hatinya untuk menggunakan kepakaran yang ada bagi membantu mereka yang kurang pengetahuan dalam hartanah, Datuk Nor’ashikin Taib, 57 menyingsing lengan mengatur langkah dan tidak menoleh ke belakang lagi.

“Ketika itu saya masih bekerja di syarikat korporat sebagai pengarah jualan bahagian hartanah dengan mengendalikan hampir 100 staff pemasaran dan jualan, jaga ‘training’ dan lain-lain. Disebabkan itu, saya selalu berurusan dengan agensi kerajaan.

“Sehinggalah diarahkan bos pergi DBKL (Dewan Bandaraya Kuala Lumpur), bincang bagaimana nak mohon kuota dan sebagainya. Bila selalu berurusan kita mesti ada hubungan baik. Dalam masa sama, bila terlalu lama kerja korporat, tak banyak mesti sikit rasa nak ada syarikat sendiri. Letihlah kerja dengan orang.

“Masa tu umur 30an, satu hari nampak peluang yang mana untuk promosi hartanah kepada bumiputera kerana pasaran ketika itu memang tiada langsung.

“Jadi, pada tahun 2006, saya bersama rakan rancang untuk bekerjasama dengan DBKL anjur satu pameran untuk bantu pemaju promosi lot yang belum terjual. Saya fikir, saya kena fokus, jadi saya letak jawatan, terus fokus ‘event’ yang pertama tahun 2007 dan akhirnya pameran hartanah bumiputera berlangsung dengan jayanya,” katanya kepada SUMBERKINI.

Antara kejayaan Expo hartanah yang pernah dianjurkan Nora'shikin

Pengalaman Dan Semangat

Bagi Nor’ashikin sendiri, tiada yang mudah dalam industri hartanah ini, sementelah hanya beliau seorang sahaja wanita yang dikelilingi kesemuanya lelaki, namun alang-alang menyeluk pekasam, biar sampai ke pangkal lengan.

“Bila diingat kembali, masa tu memang ‘zero’, saya ingat lagi simpanan saya RM30,000 dalam bank. Kalau hidup, hiduplah. Tapi saya nekad saja, kalau tak cuba, ini peluang terakhir saya berniaga. Saya rasa sifat ‘drive’, nak berjaya dan kena ada ‘attitude’ yang buat bisnes bukan cari duit semata-mata.

“Pertamanya target nak berjaya, ‘the rest become slowly’. Dengan pengalaman syarikat korporat dan berbekal semangat dan keyakinan, saya terus melangkah sampailah sekarang sudah hampir 16 tahun, tiada bisnes lain, fokus kepada ‘event management hartanah ini,” katanya yang juga pengasas syarikat pengurusan acara MMC Sdn Bhd.

Rumah Boleh Jadi Aset

Tatkala ditanya tentang resipi kejayaannya, dengan rendah diri wanita ini terus menyatakan niatnya mahu membantu golongan bumiputera celik hartanah dan dalam masa sama menguar-uarkan promosi yang orang awam terlepas pandang.

“Awal tahun 2000, orang Melayu dan bumiputera masih tidak celik hartanah. Jadi, tugas kita ‘celikkan’ mereka untuk lebih peka pada pasaran hartanah. Bukan untuk diduduki sahaja, malah boleh dijadikan aset jika ada ilmu.

“Lebih-lebih lagi, banyak insentif kerajaan lakukan untuk bantu golongan bumiputera namun insentifnya tidak sampai kepada mereka. Contohnya Syarikat Jaminan Kredit Perumahan (SJKP) yang orang ramai tak tahu dan kami ambil inisiatif terangkan satu persatu dalam penganjuran acara hartanah kami,” katanya lagi yang pernah meraih anugerah Women Icons Malaysia (2018) dan Prestigious Women Leader in Mice Industry (Bumiputera) tahun 2019. Terbaharu, Nor’ashikin turut tercalon sebagai Finalis National Association of Women Entrepreneurs of Malaysia.

Wanita yang memiliki seorang anak dan empat cucu ini juga turut berkongsi berita gembira bahawa Expo Rumah BPEX akan diadakan pada 4 dan 5 November ini  memfokuskan kepada penjualan rumah mampu milik sekitar Kuala Lumpur.

Expo yang bertempat di Dewan 3, Pusat Pameran Mid Valley (MVEC) itu membabitkan 50 pemaju dan turut mendapat kerjasama pelbagai agensi kerajaan seperti Skim Jaminan Kredit Perumahan (SJKP) serta Inisiatif Pemilikan Kediaman Malaysia (i-Miliki) dan Home Ownership Program (Hope), kedua-duanya di bawah Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT).

 

(Web source: https://sumberkini.my/hartanah-dah-jadi-darah-daging-norashikin-mahu-terus-bantu-bumiputera/)