Inisiatif i-Biaya bantu golongan yang berhadapan dengan masalah akses kepada pembiayaan perumahan
Berita RTM, 12 April 2022
KUALA LUMPUR, 12 April - Inisiatif Pembiayaan Perumahan Malaysia (i-Biaya) akan dilancarkan Khamis ini.
Menurut Timbalan Ketua Setiausaha (Perumahan dan Kesejahteraan Komuniti) Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Azhar Ahmad, i-Biaya merupakan salah satu dari empat komponen 'Home Ownership Programme' (HOPE) yang bermatlamatkan satu keluarga satu rumah.
Jelasnya, i-Biaya menyediakan pembiayaan bagi yang berhadapan dengan masalah akses kepada pembiayaan perumahan.
Terdapat tiga skim pembiayaan yang ditawarkan menerusi i-Biaya iaitu Skim Jaminan Kredit Perumahan, Skim Rumah Pertamaku (SRP) dan Skim 'Rent To Own' (RTO).
(Tim. Ketua Setiausaha (Perumahan dan Kesejahteraan Komuniti) KPKT, Datuk Azhar Ahmad)
Syarikat Jaminan Kredit Perumahan (SJKP) Berhad akan membantu pembeli rumah pertama yang tidak mempunyai pendapatan tetap seperti pekerja ekonomi gig dan bebas, pemilik perniagaan, peniaga ataupun usahawan kecil yang kebiasaanya tidak mempunyai dokumentasi lazim pinjaman perumahan.
SRP pula akan membantu pembeli rumah pertama dalam kalangan M40 dan B40 tanpa perlu membayar wang pendahuluan, manakala RTO memberi peluang kepada M40 memiliki rumah dengan skim pemilikan perumahan secara mampu milik.
"Perkara yang penting kerana kalau kita sediakan rumah sahaja, kita ada produk rumah tetapi tidak ada kemudahan pembiayaan yang boleh diperolehi oleh bakal pembeli. Maka ianya tidak lengkap diproses.
Ada rumah, ada produk tapi tiada orang yang membeli. Jadi, terutama pada golongan B40 dan M40 yang selalunya menghadapi masalah dari segi akses pembiayaan untuk mendapatkan rumah", katanya dalam sesi taklimat kepada media di ibu negara.
Tambah Datuk Azhar, Majlis Pelancaran i-Biaya akan dirasmikan oleh Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Reezal Merical bersama Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.