Inisiatif wakaf lebih RM1 bilion perkukuh jaringan keselamatan sosial, kata ahli ekonomi
Idham Razak berkata strategi pemerkasaan wakaf bawah Belanjawan 2025 juga dapat memacu perkembangan sosial.
FMT, 21 December 2024
Penyediaan rumah mampu milik antara inisiatif wakaf diperkenalkan untuk membantu meningkatkan kesejahteraaan masyarakat. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA: Inisiatif Wakaf Madani membabitkan dana lebih RM1.5 bilion bawah Belanjawan 2025 mampu memperkukuh jaringan keselamatan sosial meliputi pelbagai aspek kehidupan, kata ahli ekonomi.
Idham Razak dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) berkata, malah kerjasama strategik antara kerajaan dengan institusi kewangan, pelaburan dan hartanah itu mampu menyumbang kepada pembangunan ekonomi.
“Inovasi ini mencerminkan komitmen Malaysia dalam menggunakan instrumen Islam secara progresif untuk menyelesaikan cabaran sosioekonomi semasa,” katanya kepada FMT.
Perdana Menteri Anwar Ibrahim yang juga menteri kewangan ketika membentangkan Belanjawan 2025 mengumumkan pelbagai inisiatif bawah Wakaf Madani dengan pembabitan agensi kerajaan pada tahun depan.
Inisiatif itu antaranya pembangunan rumah persaraan warga emas berpendapatan rendah oleh Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) dengan peruntukan RM300 juta dan pembinaan rumah mampu milik atas tanah wakaf oleh UDA Holdings Berhad.
Skim Jaminan Kredit Perumahan (SJKP) untuk pembiayaan pembelian rumah pertama bernilai hingga RM500,000 di tanah wakaf dan 22,000 pemegang unit Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB) akan mewakafkan pelaburan sebanyak 73 juta unit bagi manfaat masyarakat.
Menurut Idham, strategi menerusi Wakaf Madani itu akan memperkasakan lagi usaha kerajaan membantu golongan B40 dan M40 yang turut melaksanakan bantuan subsidi bersasar
“Langkah ini dapat memastikan sumber diagihkan kepada kumpulan benar-benar memerlukan.
“Golongan seperti B40 dan M40 akan menerima manfaat langsung, sekali gus mengelakkan pembaziran serta ketirisan dana” katanya.
Ketua Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Mohd Afzanizam Abdul Rashid, berkata usaha mengoptimumkan sumber wakaf bukan hanya dapat memperkukuh jaringan keselamatan sosial tetapi pelengkap kepada dasar fiskal kerajaan.
“Jadi usaha kerajaan menggerakkan lagi sumber wakaf sesuatu yang tepat,” katanya.