Isu pinjaman dua generasi bukan masalah besar – Nga Kor Ming
Buletin TV3, 1 Ogos 2024
KUALA LUMPUR: Isu pinjaman dua generasi yang dibenarkan di bawah inisiatif Skim Jaminan Kredit Perumahan (SJKP) bukanlah suatu masalah yang besar.
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming menegaskan, rata-rata ibu bapa yang mengambil manfaat itu berjaya menyelesaikan hutang dalam tempoh generasi pertama.
“Tentang hutang generasi kedua sebenarnya tempoh pinjaman 35 tahun adalah dasar Bank Negara Malaysia. Ini memberikan fleksibiliti kepada peminjam.
“Tempoh 35 tahun adalah had maksimum, sekiranya ibu bapa yang berkemampuan boleh selesaikan tunggakan pinjaman dalam tempoh kurang dari 35 tahun.
“Maka generasi yang kedua tidak akan mewarisi. Sebenarnya masalah ini tidak ketara kerana kebanyakan pinjaman mengikut rekod yang ada, memang selesai dalam tempoh generasi pertama,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Senator Datuk Lim Pay Hen di Dewan Negara.
Tambahnya, sehingga 30 Jun tahun ini (SJKP) menerima 57,752 permohonan bernilai RM12.77 bilion yang telah diluluskan.
Pada tahun 2023 pula sebanyak 23,569 permohonan telah diluluskan dengan nilai pinjaman sebanyak RM5.9 bilion selaras dengan slogan Rumahku, Syurgaku.
Untuk rekod, melalui inisiatif itu kerajaan memberi jaminan pembiayaan rumah sehingga bernilai RM500,000 bagi pemilikan rumah pertama.
(Web source: https://www.buletintv3.my/nasional/isu-pinjaman-dua-generasi-bukan-masalah-besar-nga-kor-ming/)