Kerajaan Perlu Campur Tangan Isu 50 Peratus Penjawat Awam Belum Miliki Rumah

Sumber Kini, 21 Mac 2024

Pengarah Urusan MMC, Datuk Nor’ashikin Taib

PETALING JAYA: Campur tangan kerajaan diperlukan agar masalah memiliki rumah dalam kalangan rakyat termasuklah penjawat awam dapat diatasi.

Syarikat konsultan hartanah, Marvel Management Communication (MMC) memaklumkan tidak ramai penjawat awam yang mampu membeli rumah dengan gaji semasa kerana harga rumah yang meningkat dari hari ke hari.

Pengarah Urusannya, Datuk Nor’ashikin Taib berkata Kerajaan sebagai pembuat dasar dan mengawal peraturan berkaitan isu perumahan perlu mempertimbangkan pelbagai alternatif untuk membantu penjawat awam memiliki rumah dengan menambah lebih banyak rumah mampu milik atau mengawal harga jualan rumah.

“Tidak dinafikan terdapat lambakan rumah yang tidak terjual di Malaysia sehingga mendatangkan kembimbangan kerajaan, namun rumah yang tidak terjual itu berharga RM300,000 ke atas dan kebanyakan penjawat awam pula hanya mampu membeli rumah sekitar RM250,000 ke bawah.

“Disebabkan itu ramai penjawat awam yang memilih untuk terus tinggal di kuarters kerajaan sehingga mereka bersara dan paling tidak, mereka menyewa rumah dengan kadar sewaan yang lebih murah berbanding untuk memiliki rumah sendiri.

“Jika tidak, bukan sahaja penjawat awam malah pelbagai golongan masyarakat juga tidak mampu memiliki rumah kerana harga yang terlalu mahal berbanding pendapatan. Malah, masalah lambakan rumah yang tidak terjual juga tidak dapat diselesaikan,” katanya dalam satu kenyataan media pada Khamis.

Nor’ashikin turut menambah Kerajaan perlu mengurangkan kerenah birokrasi dengan mengawal kadar faedah pinjaman perumahan dan membincangkan pendekatan strategik dan holistik bagi mengatasi masalah ini.

Perbincangan mengenai kerangka membantu penjawat awam harus lebih serius dengan perbincangan bersama pemaju-pemaju perumahan, pihak bank dan Lembaga Pembiayaan Perumahan Sektor Awam (LPPSA).

“Jika kerjasama ini dapat digembeleng secara teratur dapatlah dimanfaatkan Skim Jaminan Kredit Perumahan (SJKP) dimana jaminan dana sebanyak RM10 bilion ringgit yang baharu sahaja dilancarkan Kementerian Kewangan,” katanya.

Tambahnya lagi, isu penjawat awam tidak mampu memiliki rumah ini juga sudah berlarutan bertahun-tahun lamanya tanpa ada penyelesaian yang konkrit dari kerajaan.

“Kebajikan setiap penjawat awam perlu dijaga termasuklah memiliki kediaman sendiri, namun pada hari ini, keperluan asas seperti memiliki kediaman sendiri semakin sukar terutama di kawasan bandar kerana jangan dilupa bahawa mereka merupakan tulang belakang kerajaan dan golongan pelaksana dasar kerajaan,” katanya.

Terdahulu, isu penjawat awam belum memiliki rumah mendapat perhatian Kongres Kesatuan Pekerja dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) sejak 2012 lagi. Antara yang dikenalpasti ialah isu tangga gaji yang rendah sekitar RM1,200 sebulan (kini RM1,500) dan harga rumah yang ditawarkan di pasaran berada di luar kemampuan penjawat awam.

Malahan merujuk laporan pada tahun 2022, sebanyak 50 peratus daripada 1.62 juta penjawat awam di Malaysia masih belum mampu memiliki rumah.

 

(Web source: https://sumberkini.my/kerajaan-perlu-campur-tangan-isu-50-peratus-penjawat-awam-belum-miliki-rumah/)