Kerajaan Sentiasa Beri Peluang Golongan Berpendapatan Rendah Miliki Rumah - Bos Group
Bernama Malay, 10 Mac 2024
KUALA LUMPUR, 9 Mac (Bernama) -- Masyarakat khususnya golongan berpendapatan rendah dan tidak mempunyai pendapatan tetap masih berpeluang untuk memiliki rumah sendiri, kata pengarah syarikat pengurusan hartanah BOS Group Sdn Bhd Cha Yeh Chain.
Beliau berkata kerajaan sentiasa memberi peluang kepada golongan berkenaan untuk memiliki kediaman sendiri melalui program Skim Jaminan Kredit Perumahan (SJKP).
Bagaimanapun katanya, terdapat segelintir daripada mereka yang tidak mengetahui cara untuk mendapatkan bantuan akibat kurang cakna dengan insentif berkenaan, atau mungkin sudah berputus asa kerana gagal dalam permohonan kali pertama.
"Mungkin mereka pernah memohon pinjaman, tetapi ditolak, jadi mereka berputus asa untuk membeli rumah, sedangkan selepas SJKP dilancarkan, pihak ini menerima permohonan daripada golongan berkenaan.
"Mereka perlu tanya mana-mana bank yang boleh menerima (permohonan) gaji sebegitu (rendah atau tidak tetap). Jadi, kita perlu peka dengan isu semasa (insentif daripada kerajaan)," katanya menerusi temu bual eksklusif bersama Bernama.
Skim SJKP menyediakan pembiayaan penuh untuk rumah berharga sehingga RM500,000 yang membolehkan rakyat berpendapatan rendah, berumur 18 tahun ke atas mendapat pinjaman perumahan selama 35 tahun atau sehingga mencapai usia 70 tahun.
Lebih mesra dikenali sebagai Bos Molly di media sosial, katanya ramai dalam kalangan rakyat Malaysia yang tidak mampu untuk memiliki rumah sendiri kerana tidak cekap dalam pengurusan kewangan, selain membeli rumah yang tidak berpadanan dengan pendapatan.
Cha turut menasihatkan generasi muda yang ingin membeli rumah untuk membuat perancangan sekurang-kurangnya enam hingga 12 bulan dan meninjau projek perumahan yang bersesuaian dengan pendapatan.
Beliau berkata, peluang untuk memiliki rumah di Malaysia adalah lebih mudah berbanding di negara lain seperti Australia.
"Di Australia, kalau nak beli rumah yang sedang dibina, pembeli perlu terlebih dahulu membayar 10 peratus wang pendahuluan. Jika harga rumah itu A$500,000 (A$1=RM3.13), mereka perlu membayar AU$50,000.
"Selepas rumah siap, barulah boleh memohon pinjaman. Tetapi jika permohonan tidak diluluskan, wang pendahuluan akan 'hangus'," katanya.
Cha berkata, kebanyakan generasi muda di Singapura dan Hong Kong sudah berputus asa untuk membeli rumah dan banyak menghabiskan wang untuk membeli barangan berjenama.
Beliau berkata mereka juga boleh mengamalkan tabiat 'delayed gratification' iaitu dengan menangguhkan ganjaran sedia ada untuk kepuasan lebih baik pada masa akan datang seperti yang diamalkan beliau ketika usia muda.
"Kita perlu berjimat-cermat semasa usia masih muda dan bijak mencari wang untuk mencapai apa yang kita inginkan.
“Justeru, saya menasihatkan generasi muda di Malaysia supaya membeli rumah terlebih dahulu dengan merancang kewangan yang baik dan mengutamakan apa yang perlu dibeli,” katanya.
Cha kini mempunyai lebih sejuta pengikut di media sosial seperti aplikasi TikTok, Facebook, YouTube dan Instagram dengan menghasilkan kandungan berbentuk pendidikan mengenai isu hartanah di Malaysia.
--BERNAMA
(Web source: https://bernama.com/en/news.php?id=2277531)