KPKT Bantu Rakyat Beli Rumah Pertama Dengan Jaminan Kerajaan
Sumber Kini, 11 May 2024
KUALA LUMPUR: Peningkatan pemilikan kediaman bagi bumiputera meningkat namun ia masih belum mencakupi semua keluarga, kata Timbalan Menteri Perumahan Dan Kerajaan Tempatan, Datuk Aiman Athirah Sabu.
Beliau berkata isu sebegini perlu dilihat secara kolektif dan bersepadu agar setiap keluarga di Malaysia dapat memiliki kediaman mengikut kemampuan masing-masing.
“Justeru, lahirnya Inisiatif Pembiayaan Perumahan Malaysia (i-BIAYA) dengan usaha bersama Kementerian Kewangan sejak tahun 2022 lagi.
“Kerajaan melalui Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) memberi perhatian kepada aspek kemampuan kewangan dan akses kepada pembiayaan perumahan. Ini dizahirkan melalui Inisiatif Pembiayaan Perumahan Malaysia atau i-BIAYA dengan usaha bersama Kementerian Kewangan yang telah diperkenalkan sejak tahun 2022 lagi.
“Selain itu, skim pembiayaan Skim Jaminan Kredit Perumahan menerusi Syarikat Jaminan Kredit Perumahan (SJKP) Berhad juga membantu pembeli rumah pertama yang tidak mempunyai pendapatan tetap seperti pekerja ekonomi gig dan bebas, pemilik perniagaan, peniaga atau usahawan kecil.
“Golongan ini kebiasaanya tidak mempunyai dokumentasi lazim pinjaman perumahan seperti slip gaji, berpendapatan rendah, KWSP dan sebagainya,” katanya ketika berucap dalam Ekspo Rumah BPEX 2024 di Mid Valley pada Sabtu.
Beliau turut menyarankan golongan bumiputera agar ambil tahu dan peka dalam bidang hartanah dan potensi pelaburan hartanah.
“Bumiputera harus menyimpan satu cita-cita dan impian supaya tidak ketinggalan memiliki rumah di usia muda dan membuat perancangan awal untuk keluarga pada masa hadapan.
“Kami di KPKT sentiasa membuka ruang kepada semua pihak termasuk pihak swasta yang ingin bersama-sama membawa aspirasi Kerajaan Madani di dalam menggalakan pemilikan kediaman dan memberikan sokongan serta kerjasama yang lebih mantap supaya hasrat pemilikan kediaman dapat direalisasikan,” katanya lagi.
Aiman turut mencadangkan agar Pameran Ekspo Rumah BPEX ini diperluaskan ke peringkat negeri dalam usaha mencapai objektif meningkatkan pemilikan Bumiputera.
Untuk rekod, Ekspo Rumah BPEX ini berlangsung selama dua hari iaitu 11 dan 12 Mei di Dewan 3, Mid Valley (MVEC) pada jam 11 pagi hingga 9 malam.
(Web source: https://sumberkini.my/kpkt-bantu-rakyat-beli-rumah-pertama-dengan-jaminan-kerajaan/)