KPKT lancar i-Biaya
Berita RTM, 14 April 2022
PETALING JAYA, 14 April - Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) dengan kerjasama Kementerian Kewangan melancarkan Insiatif Pembiayaan Perumahan Malaysia, i-Biaya.
Inisiatif tersebut memudahkan pembiayaan perumahan bagi golongan berpendapatan rendah M40 dan B40.
Menurut Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican, selari dengan matlamat 'Satu Keluarga, Satu Rumah', i-Biaya satu langkah integrasi untuk menyatukan semua inisiatif di bawah satu bumbung.
Tiga skim ditawarkan yang melibatkan penambahbaikan kepada skim sedia ada iaitu Skim Jaminan Kredit Perumahan yang disediakan menerusi Syarikat Jaminan Kredit Perumahan (SJKP) Bhd dengan peruntukan RM3 bilion.
Selain itu, Skim Rumah Pertamaku (SRP) oleh Cagamas SRP Bhd. dan Skim ‘Rent To Own’ (RTO) oleh Perbadanan PR1MA Malaysia.
Skim PR1MA RTO, membolehkan mereka yang berminat menyewa rumah dan kemudian membelinya pada tahun keenam, melalui pembiayaan Maybank.
(Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican, berucap semasa perasmian i-Biaya)
"Kalau sebuah rumah, RM300,000, jika 10 peratus, atau 90 peratus perlu membayar RM30,000 dengan kos-kos lain sekitar lebih kurang RM34,000. Tetapi dengan adanya skim PR1MA RTO ini mereka hanya akan masuk dengan bayaran yang jauh lebih rendah, malahan mereka juga hanya membayar sekitar RM600 sebulan untuk tempoh 5 tahun pertama bagi rumah yang berharga RM300,000 dan ini khususnya yang ada pergerakan gaji dapat masuk lebih awal", katanya dalam ucapan perasmian i-Biaya di Petaling Jaya.
Bagi Skim Rumah Pertamaku (SRP), ia dijangka memberi manfaat kepada 25,000 pemohon, dengan anggaran nilai pembiayaan sebanyak RM5.9 bilion.
Skim SRP akan membuka peluang pembiayaan kepada mereka yang mempunyai pendapatan RM10,000 ke bawah untuk kediaman bernilai sehingga RM500,000.
Peluasan jaminan Skim Jaminan Kredit Perumahan pula, akan membolehkan individu yang tidak mempunyai penyata gaji terutama yang terlibat dalam ekonomi gig, memohon pembiayaan perumahan.
Untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenai i-Biaya, sila layari laman sesawang hope.kpkt.gov.my.
(Web source: https://berita.rtm.gov.my/index.php/semasa/38081-kpkt-lancar-i-biaya)