Lebih 75,000 usahawan PKS dapat manfaat skim jaminan SJPP sejak 2009

Berita Harian, 27 February 2025

Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan - NSTP/HAIRUL ANUAR RAHIM

KUALA LUMPUR: Lebih 75,000 usahawan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dengan pembiayaan melebihi RM102 bilion mendapat manfaat skim jaminan di bawah Syarikat Jaminan Pembiayaan Perniagaan Berhad (SJPP) sejak penubuhannya pada April 2009 hingga Disember 2024.

Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan, berkata pada 2024, lebih 14,000 PKS menerima kelulusan pembiayaan bernilai RM18.5 bilion.

Manakala, skim jaminan di bawah Syarikat Jaminan Kredit Perumahan Berhad (SJKP) menyaksikan lebih 76,000 permohonan dengan jumlah pembiayaan melebihi RM17.8 bilion diluluskan sejak penubuhannya pada akhir 2007 sehingga Disember 2024.

"Bagi 2024 saja, peruntukan skim di bawah SJKP ini memanfaatkan lebih 36,000 permohonan dengan jumlah pembiayaan bernilai RM9.7 billion diluluskan," katanya pada Majlis Peluncuran Inisiatif Belanjawan 2025 - Peruntukan SJPP dan SJKP di sini, hari ini.

Dalam Belanjawan 2025, Amir Hamzah berkata, Kerajaan MADANI memperuntukkan RM20 bilion kepada SJPP untuk pembiayaan PKS dan dijangka menjamin sehingga 80 peratus pembiayaan usahawan PKS, khususnya yang terbabit dalam sektor tumpuan seperti halal, teknologi tinggi, alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) dan pelancongan.

Selain itu, beliau berkata, sejumlah RM5 bilion daripada RM20 bilion jaminan di bawah SJPP akan dikhususkan untuk syarikat Bumiputera, mencerminkan komitmen kerajaan untuk memperkasakan komuniti perniagaan Bumiputera dan memberikan mereka peluang yang adil untuk berkembang dalam pelbagai sektor ekonomi.

Selain itu, Amir Hamzah berkata, kerajaan sedang memperluas ekosistem halal merangkumi makanan, farmaseutikal, kosmetik dan kewangan Islam bagi mengukuhkan peranan Malaysia sebagai hab halal global.

Beliau berkata, kerajaan sedang mempercepatkan inisiatif seperti infrastruktur 5G, bandar pintar dan Revolusi Industri 4.0 untuk memacu inovasi serta menarik pelaburan teknologi tinggi, selain menyediakan sokongan kepada syarikat pemula niaga, keusahawanan digital dan peningkatan kemahiran tenaga kerja bagi memenuhi keperluan masa depan.

Dalam pada itu, Amir Hamzah berkata, kerajaan turut prihatin terhadap cabaran pembiayaan perumahan yang dihadapi oleh golongan tanpa pendapatan tetap untuk memiliki rumah pertama.

Beliau berkata, mengambil kira perkembangan semasa dengan ramai bekerja dalam sektor informal dan menjadi pekerja gig, kerajaan meningkatkan skim jaminan di bawah SJKP dengan jaminan tambahan sebanyak RM10 bilion untuk 2025 dan bakal memanfaatkan lebih 20,000 peminjam.

Katanya, 'Skim Step Up Financing' di bawah SJKP diperkenalkan sebagai jaminan kerajaan untuk golongan muda yang ingin memiliki rumah pertama dengan bayaran balik pinjaman yang lebih rendah bagi tempoh lima tahun pertama.

Tambahnya, jaminan kerajaan melalui SJKP akan menyediakan program untuk pembiayaan pembelian rumah pertama bernilai sehingga RM500,000 yang dibangunkan di atas tanah wakaf.

"Inisiatif ini bertujuan memberi peluang pemilikan rumah yang lebih mampu milik kepada golongan yang memerlukan selain memanfaatkan tanah wakaf untuk kegunaan masyarakat," katanya.

 

(Web source: https://www.bernama.com/misc/rss/news.php/news.php?id=2397277)