[Parlimen] Sukar dapat pinjaman punca golongan muda gagal miliki rumah

Utusan Malaysia, 8 March 2022


REEZAL MERICAN NAINA MARICAN

KUALA LUMPUR: Kesukaran mendapatkan pembiayaan atau ‘Barrier of Entry’ dikenal pasti menjadi punca utama golongan muda berumur 25 hingga 35 tahun gagal memiliki rumah mampu milik.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata, bagi mengatasi masalah berkenaan, KPKT dan Kementerian Kewangan bercadang untuk menganjurkan Program Home Ownership Programme (HOPE).

Beliau berkata, program HOPE akan menfokuskan kepada empat elemen utama iaitu Inisiatif Pembiayaan Perumahan Malaysia (IPPM), Penyediaan Perumahan, Program dan Promosi.

“Di bawah elemen IPPM akan diwujudkan program seperti Skim Rumah Pertamaku (SRP) di bawah Cagamas Berhad, Skim Jaminan Kredit Perumahan di bawah Syarikat Jaminan Kredit Perumahan Berhad (SJKP) dan RTO PR1MA sebaik sahaja dimuktamadkan.

“Segala usaha akan ditingkatkan dengan kerjasama institusi kewangan yang terpilih agar dapat menarik minat pembeli khususnya golongan B40 dan M40 untuk memudahkan pembiayaan bagi memiliki rumah,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Reezal Merican berkata demikian bagi menjawab pertanyaan Datuk Mohd. Fasiah Mohd. Fakeh (Bersatu-Sabak Bernam) mengenai kejayaan KPKT menyediakan projek perumahan mampu milik kepada golongan muda.

Secara keseluruhan kata Reezal Merican, sehingga Disember 2021, sebanyak 50 peratus pembeli kediaman PR1MA iaitu 17,543 pembeli di seluruh negara adalah terdiri daripada golongan yang berumur di antara 25 hingga 35 tahun.

“Bagi 2021, sebanyak 34 peratus pembeli kediaman PR1MA iaitu seramai 1,904 daripada 5,626 pembeli di seluruh negara adalah terdiri daripada golongan yang berumur di antara 25 hingga 35 tahun.

“Ini menunjukkan harga jualan yang ditawarkan oleh PR1MA, dengan purata harga rumah iaitu RM250,000.00 adalah bersesuaian dengan golongan muda,” katanya.

Selain itu katanya, PR1MA juga akan memperkenalkan inisiatif Youth Home Ownership yang menyasarkan peningkatan pemilikan rumah PR1MA di kalangan golongan muda kepada 70 peratus pada penghujung tahun 2022.

“Bagi membantu golongan muda memiliki rumah, kementerian juga sedang merancang untuk menyediakan Rumah Transit Belia (RTB) di beberapa lokasi di Lembah Klang yang mana harga rumah dan kadar sewa adalah tinggi di kawasan tersebut.

“Sebanyak dua projek RTB dicadangkan di Mukim Batu, Kuala Lumpur dengan 1,400 unit dan satu projek di Rawang, Selangor sebanyak 3,000 unit,” katanya. – UTUSAN

 

(Web source:  https://www.utusan.com.my/nasional/2022/03/sukar-dapat-pinjaman-punca-golongan-muda-gagal-miliki-rumah/)