Peluang terbaik miliki rumah sendiri

Harian Metro, 27 December 2024

Kuala Lumpur: Langkah kerajaan menawarkan pelbagai inisiatif dalam ketersediaan akses perumahan mampu milik, memberi peluang kepada rakyat terutama B40 dan anak muda memiliki rumah sendiri.

Hasrat itu diterjemahkan menerusi pelbagai peruntukan diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam pembentangan Belanjawan 2025 Oktober lalu, sekaligus mencerminkan komitmen kerajaan untuk mengutamakan bekalan rumah mampu milik bagi rakyat terbanyak.

Dalam pembentangan Belanjawan 2025 itu, Perdana Menteri mengumumkan hampir RM900 juta bagi melaksanakan 48 Program Residensi Rakyat (PRR) dan 14 projek Rumah Mesra Rakyat termasuk dua projek PRR baharu di Port Dickson dan Seberang Perai Tengah.

Sebanyak 30 projek PRR dijangka siap penghujung 2025 yang bakal memanfaat hampir 17,500 penghuni baharu.

Pada masa sama, jaminan di bawah Skim Jaminan Kredit Perumahan (SJKP) akan dinaikkan sehingga RM10 bilion, sekaligus membuka peluang kepada 20,000 pembeli rumah untuk mendapatkan pembiayaan khususnya bagi mereka yang menghadapi cabaran mendapatkan pinjaman perumahan.

Di bawah SJKP, Skim Step Up Financing diperkenalkan sebagai jaminan kerajaan sehingga RM5 bilion khusus untuk golongan muda memiliki rumah pertama dengan kemudahan bayaran balik pinjaman lebih rendah bagi tempoh lima tahun pertama.

Selain itu, pelepasan cukai individu sehingga RM7,000 ke atas faedah pinjaman perumahan bagi perjanjian disempurnakan dalam tempoh 1 Januari 2025 hingga 31 Disember 2027 turut diperkenalkan bagi menggalakkan milikan rumah pertama.

Bagi pekerja swasta, Nurina Diyanah Mat Nazri, 26, inisiatif kerajaan itu umpama buah tangan buat dirinya dan suami yang memang merancang untuk membeli rumah sendiri.

"Pengumuman kerajaan ini tepat masanya. Ia membantu kami dalam memiliki rumah sendiri kelak.

"Sebagai contoh, pelepasan cukai individu sehingga RM7,000 dan Skim Step Up Financing yang disediakan sememangnya dapat meringankan beban kami dan menggalakkan anak muda seperti kami membeli rumah pertama.

"Dengan inisiatif sebegini, ia secara tidak langsung dapat menggalakkan golongan muda memiliki rumah sendiri dan mengelakkan daripada terus menyewa atau bergantung kepada kediaman keluarga," katanya.

Sementara itu, Shima Aziz, 43, berkata, inisiatif dilaksanakan kerajaan tepat masanya bagi memudahkan rakyat memiliki rumah sendiri ketika berdepan kos sara hidup tinggi dan kenaikan harga rumah di pasaran.

Katanya, inilah masanya rakyat terutama anak muda merebut peluang keemasan memiliki rumah sendiri.

"Pelaksanaan projek rumah mampu milik itu sememangnya satu langkah yang bagus dan perlu diperbanyakkan kerana harga rumah yang agak mahal ketika ini sebenarnya menjadi faktor utama mengekang orang ramai membeli rumah dan terus memilih untuk menyewa.

"Tetapi dengan adanya perluasan projek rumah mampu milik ini, ia akan menggalakkan lebih ramai rakyat membeli dan memiliki rumah sendiri.

"Maka, inisiatif yang diperkenalkan ini boleh menjadi titik tolak bagi golongan muda atau mereka yang bekerja sendiri serta tiada pendapatan tetap untuk membeli rumah sendiri," katanya.

Penjawat awam, Nurain Tanzizi, 32, juga menyokong penuh inisiatif dilaksanakan kerajaan kerana meringankan beban rakyat terutama golongan muda dalam memiliki rumah sendiri.

"Dengan adanya Skim Step Up Financing itu, memang saya akan pertimbangkan untuk membeli rumah.

"Ini kerana dengan adanya skim seperti ini, sekurang-kurangnya dapat membantu golongan muda membayar pinjaman lebih rendah dalam tempoh lima tahun pertama.

"Ia sedikit sebanyak dapat meringankan beban anak muda untuk memiliki rumah kerana selepas beli rumah sudah tentu ada banyak lagi kos lain perlu ditanggung pembeli," katanya.

 

(Web source: https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2024/12/1170073/peluang-terbaik-miliki-rumah-sendiri)