PKNS, Bank Muamalat tawar pembiayaan kediaman dan komersial
Berita Harian, 11 Januari 2023
Mahmud Abbas (kiri) bersama Khairul ketika majlis menandatangani MoU antara PKNS dan Bank Muamalat di Shah Alam, hari ini -Foto BERNAMA
SHAH ALAM: Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) menjalin kerjasama strategik dengan Bank Muamalat Malaysia Bhd (Bank Muamalat) menerusi penawaran pembiayaan perumahan kepada individu dan entiti perniagaan sebagai usaha membantu masyarakat dalam pemilikan hartanah khususnya kediaman dan komersial.
Kerjasama itu dijalin menerusi Memorandum Persefahaman (MoU) yang ditandatangani hari ini oleh PKNS, yang diwakili Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Mahmud Abbas manakala Bank Muamalat diwakili oleh Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Khairul Kamarudin.
Mahmud berkata, kerjasama itu membolehkan Bank Muamalat menyediakan pembiayaan akhir kepada pelanggan PKNS yang berpotensi bagi produk hartanah yang dibangunkan oleh PKNS di seluruh Malaysia membabitkan pembangunan perumahan pelbagai peringkat termasuk projek mampu milik.
"Bagi golongan individu, Bank Muamalat menawarkan khidmat nasihat pembiayaan menerusi Skim Jaminan Kredit Perumahan (SJKP) dan Skim Rumah Pertamaku (SRP) dengan kerjasama Syarikat Jaminan Kredit Perumahan Bhd dan Cagamas Bhd.
"Bagi segmen perniagaan, akan disediakan khidmat nasihat dan kemudahan fasiliti untuk industri kecil dan sederhana yang membabitkan vendor dan rakan niaga," katanya kepada media di sini, hari ini.
Sementara itu, Mahmud berkata kemudahan pembiayaan berkenaan dapat membantu pelanggan PKNS sama ada individu atau entiti perniagaan untuk memiliki hartanah menerusi penawaran pakej yang bersesuaian mengikut keperluan dan kelayakan pelanggan.
Beliau turut memaklumkan mengenai perancangan PKNS untuk melancarkan 10 projek perumahan di Selangor seperti di Shah Alam, Bangi dan Selangor Cyber Valley, Cyberjaya.
"Sememangnya menjadi hasrat PKNS untuk meningkatkan tahap pemilikan kediaman kepada lebih ramai masyarakat terutamanya golongan belia dan pembeli rumah pertama," katanya.
Dalam perkembangan lain, Khairul berkata kerjasama Bank Muamalat dan PKNS merangkumi pelbagai aspek perniagaan untuk jangka masa panjang memandangkan PKNS adalah syarikat pemaju hartanah yang bereputasi tinggi di Malaysia khususnya di negeri Selangor.
"Bank Muamalat kini dalam usaha membina #Kehidupan Lebih Baik Bersama Pelanggan dan kami amat memahami masalah yang dihadapi oleh para pelanggan ditambah dengan keadaan ekonomi semasa yang agak mencabar terutamanya, bagi pembeli rumah pertama.
"Dengan itu, pihak kami sedia memberikan penyelesaian dan menyediakan kemudahan kewangan kepada individu dan entiti perniagaan," katanya.
-BERNAMA
(Web source: https://www.bharian.com.my/bisnes/hartanah/2023/01/1050575/pkns-bank-muamalat-tawar-pembiayaan-kediaman-dan-komersial )