PLKN 3.0 dimulakan dengan konsep baharu, libatkan lepasan kadet sekolah
Utusan TV, 18 Oktober 2024
PROGRAM Latihan Khidmat Negara (PLKN) 3.0 akan dilaksanakan secara berfasa bermula Jun atau Julai 2025 dengan konsep dan format baharu. GAMBAR: BERNAMA
PROGRAM Latihan Khidmat Negara (PLKN) 3.0 akan dimulakan secara rintis dengan konsep baharu melibatkan peruntukan RM50 juta kepada Kementerian Pertahanan bagi lepasan kadet sekolah.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan agensi beruniform lain turut akan terlibat dalam menjayakan PLKN 3.0 menggunakan prasarana sedia ada dengan kerjasama Akademi Kenegaraan.
Beliau yang juga merupakan Menteri Kewangan berkata demikian ketika menyentuh mengenai perancangan pembangunan anak muda ketika membentangkan Belanjawan 2025 di Dewan Rakyat hari ini.
Selain itu, Anwar berkata, program Rakan Muda akan diperuntukkan peruntukan sebanyak RM25 juta untuk terus menjadi wadah pembinaan potensi dan identiti belia berjati diri.
Manakala, program Skim Step Up Financing diperkenalkan di bawah Syarikat Jaminan Kredit Perumahan Berhad (SJKP) sebagai jaminan kerajaan sehingga RM5 bilion khusus untuk golongan muda yang ingin memiliki rumah pertama.
“Skim ini menawarkan kemudahan bayaran balik pinjaman yang lebih rendah bagi tempoh 5 tahun pertama,” katanya.
Katanya, kerajaan melalui TalentCorp menyediakan Geran Padanan RM10 juta di bawah Program Latihan Industri Untuk Perusahaan Kecil dan 120 Sederhana (LiKES) bagi membolehkan syarikat melatih mahasiswa dalam bidang STEM menerusi latihan industri.
Program Tunas Usahawan Belia Bumiputera (TUBE) disediakan RM20 juta untuk terus menggalakkan generasi belia menceburi bidang perniagaan.
(Web source: https://utusantv.com/2024/10/18/plkn-3-0-dimulakan-dengan-konsep-baharu-libatkan-lepasan-kadet-sekolah/)