PR1MA, MBSB BANK dan SJKP teroka kerjasama untuk tingkatkan pemilikan rumah
Bernama Malay, 14 July 2023
KUALA LUMPUR, 14 Julai (Bernama) -- Perbadanan PR1MA Malaysia (PR1MA), MBSB Bank Bhd dan Syarikat Jaminan Kredit Perumahan Berhad (SJKP) berhasrat meneroka kerjasama bagi menggalakkan pemilikan rumah dalam kalangan rakyat Malaysia menerusi Memorandum Persefahaman (MoU) yang ditandatangani hari ini.
Dalam kenyataan bersama, ia berkata MoU antara PR1MA dan MBSB Bank bakal menyaksikan agensi perumahan berkenaan mendapat sokongan kewangan supaya pemaju, kontraktor dan pembekal projek di bawahnya dapat memastikan projek dapat disiapkan mengikut jadual.
Dalam pada itu, PR1MA menandatangani MoU dengan MBSB Bank dan SJKP untuk memudahkan akses kepada pembeli yang ingin membeli rumah pertama mereka.
Sementara itu, Pengerusi PR1MA berberkata beliau yakin kerjasama terbaharu itu dapat menyokong aspirasi kerajaan dalam meningkatkan kadar pemilikan rumah di dalam negara.
Kerjasama antara PR1MA, MBSB Bank dan SJKP adalah seiring dengan pengumuman kerajaan dalam pembentangan Bajet 2023 yang memperuntukkan jaminan tambahan sebanyak RM3 bilion untuk Skim Jaminan Kredit Perumahan yang baharu.
Bermula 1 April 2023, kerajaan telah meluaskan sasaran SJKP bagi merangkumi kedua-dua golongan berpendapatan tetap dan tidak tetap yang berkelayakan di bawah Skim Jaminan Kredit Perumahan untuk mendapatkan kemudahan pembiayaan perumahan.
-- BERNAMA
(Web source: https://www.bernama.com/bm/ekonomi/news.php?id=2206525)