Rancang pembelian dan lihat kemampuan kewangan
Harian Metro, 13 February 2026
RUMAH flat di lokasi strategik boleh jana keuntungan.
MESKIPUN nilai hartanah pada awal tahun 2000 masih berpatutan, cabaran pemilik rumah pertama ketika itu ialah, tidak banyak inisiatif ditawarkan oleh kerajaan untuk membantu bakal pemilik hartanah ketika itu.
Pihak yang pandai menyimpan dan tahu selok-belok dalam pembelian hartanah memiliki kelebihan membeli hartanah yang memiliki prospek untuk pelaburan.
Itu mencipta peluang kepada pemilik hartanah mendapat hartanah yang boleh mendatangkan keuntungan kepada mereka.Menurut penjawat awam dan juga pelabur hartanah, Mohd Syafiq Mahfoz, 41, dia memiliki rumah pertama pada 2008 pada usia 23 tahun.
Katanya, ketika itu, antara syarat ketat dikenakan ialah deposit pembelian hartanah sebanyak 10 peratus selain latar rekod kewangan baik.
"Ketika saya membeli rumah pertama pada 2008, harganya tidak terlalu tinggi. Pada masa sama, kebanyakan rumah kos rendah dengan prospek yang baik terletak di lokasi strategik dan jumlahnya juga banyak.
"Kebetulan, ketika itu, saya masih baru bekerja. Pendapatan tahun pertama pula sepadan dengan kelayakan untuk membeli rumah kos rendah di Cheras. Saya memilih rumah flat dan membelinya terus daripada pemilik," katanya.
Kemampuan membeli rumah pada tahun pertama bekerja itu kata Mohd Syafiq didorong atas minat dan kesedaran mengenai peluang menjana keuntungan melalui bidang hartanah sejak zaman belajar.
"Kalau mahu untung dalam pembelian rumah atau hartanah, memang kena ada kesedaran terutama dalam merancang kewangan dan ilmu dalam bidang hartanah.
"Minat saya dalam hartanah timbul sejak tamat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). Ketika itu, saya suka membaca berita berkaitan pelaburan.
"Saya juga mula menabung ketika zaman belajar, malah merancang untuk memiliki aset pertama ketika awal bekerja. Memang saya gemar merancang kerana saya mahu menikmati kehidupan di usia 40-an selain persaraan dengan selesa," katanya.
Menurut Mohd Syafiq, cabaran utama golongan muda dan pembeli rumah pertama ketika ini membabitkan pelbagai faktor.
Katanya, antaranya, ia membabitkan nilai hartanah yang terlalu tinggi berbanding pendapatan sebahagian besar golongan berkenaan.
"Ia seperti harga rumah yang semakin tidak munasabah, kos sara hidup semakin tinggi selain julat gaji yang tidak banyak berubah.
"Pada masa sama, trend 'beli dahulu bayar kemudian' secara dalam talian turut ada kalanya membuatkan status kewangan direkodkan tidak sihat, seterusnya menyukarkan mereka mendapat pembiayaan.
"Golongan muda yang mahu memiliki hartanah perlu banyak berkorban selain tidak dibebani tekanan kewangan.
"Korbankan sebahagian besar keinginan dan utamakan perkara lebih penting seperti pemilikan hartanah. Hartanah ini adalah prospek pelaburan dan mampu membantu menjana keuntungan pada masa depan," katanya.
Mohd Syafiq turut menyarankan supaya setiap pelaburan atau pembelian hartanah diteliti bagi memastikan ia memberi pulangan menguntungkan.
"Satu lagi tips penting yang saya ingin kongsikan ketika membeli rumah ialah, bakal pembeli perlu menilai adakah ia mendatangkan keuntungan dan tidak merisikokan pelaburan mereka.
"Bagi rumah pertama saya, lebihan sewa rumah berkenaan saya gunakan untuk menampung perbelanjaan selain sebagai tabungan.
"Saya percaya, pilihan saya waktu itu tepat dan tiga tahun kemudian, saya dapat membeli rumah kedua. Pada masa sama, kedudukan kewangan juga semakin baik," katanya.
Mohd Syafiq juga mengingatkan bakal pembeli rumah pertama supaya mereka melakukan kajian dan pembacaan sendiri berkaitan hartanah yang ingin dibeli.
"Buat pertimbangan sedalam-dalamnya. Fikirkan apa tujuan pembelian, komitmen bulanan selain adakah ia membebankan atau sebaliknya.
"Pada masa sama, penting untuk bakal pembeli rumah pertama tidak terikut-ikut dengan kata orang atau trend rakan sebaya yang membeli rumah kerana mahu kelihatan hebat di mata masyarakat.
"Malah, cuba elakkan daripada termakan umpan atau pujukan tawaran tidak masuk akal seperti 'cash back' kerana ia akan menjerat golongan muda menanggung komitmen bulanan pembiayaan rumah tinggi dan dibebani hutang," katanya.
Mohd Syafiq turut menasihati golongan muda untuk memanfaatkan inisiatif kerajaan bagi membolehkan mereka memiliki kediaman atau hartanah.
"Golongan muda perlu mencari ruang dan meningkatkan kemampuan diri dalam memiliki hartanah. Berbanding awal 2000, tidak banyak inisiatif dilancarkan oleh kerajaan berbanding sekarang. Ketika ini, banyak program dilancarkan untuk golongan muda memiliki kediaman.
"Umpamanya, Skim Jaminan Kredit Perumahan (SKJP) oleh kerajaan yang membantu pemilik tidak layak memiliki rumah pertama dan golongan muda.
"Malah, rumah mampu milik dan program rumah rakyat juga semakin banyak di pasaran. Ditambah lagi kewujudan skim khas oleh institusi kewangan dan program pemaju membolehkan golongan muda memiliki rumah tanpa deposit serta tanpa yuran guaman," katanya.
(Web Source: https://www.hmetro.com.my/PnP/2026/02/1322221/rancang-pembelian-dan-lihat-kemampuan-kewangan)

