Sasaran bina 500,000 rumah mampu milik di bawah RMK12 capai 98.8 peratus – PM
Buletin TV3, 28 August 2025
Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini – Foto Jabatan Penerangan
KUALA LUMPUR: Sebanyak 98.8 peratus daripada sasaran membina 500,000 unit rumah mampu milik di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) berjaya dicapai setakat ini.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata sehingga Jun lalu, sebanyak 493,874 unit rumah selesai disiapkan atau berada dalam pelbagai peringkat pelaksanaan.
“Hingga 30 Jun 2025, sebanyak 197,311 unit sudah siap mengikut rancangan awal, tetapi jumlah itu jauh daripada keperluan. Sebab itu dalam penekanan baharu, kita tambah 217,371 unit atau 43.5 peratus yang kini dalam peringkat pembinaan, manakala 79,192 atau 15 peratus lagi telah mendapat kelulusan merancang,” katanya.
Menurut beliau, meskipun sasaran RMK12 tinggi, pelaksanaannya masih lemah, justeru di bawah pengawasan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan perkara itu diberi keutamaan.
“Dengan kerjasama kerajaan negeri, baki sasaran 6,126 unit akan dapat disiapkan,” katanya ketika sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini.
Anwar berkata konsep kediaman berkenaan merangkumi pelbagai pendekatan termasuk rumah mampu milik, Skim Sewa Untuk Beli (RTO), pembangunan berorientasikan transit serta projek baharu seperti Kota MADANI yang dilancarkan di Putrajaya dan Cheras.
“Di Putrajaya, 90 peratus daripada 10,000 unit itu melibatkan pembinaan 3,000 unit kediaman bagi fasa pertama diikuti 7,000 unit pada fasa kedua, dan projek ini untuk penjawat awam di Putrajaya yang telah lama menunggu kesempatan mendapatkan rumah, memandangkan permintaan sangat tinggi,” katanya.
Beliau turut menyentuh mengenai Skim Jaminan Kredit Perumahan (SJKP) yang diperkenalkan sejak 2008 dengan memaklumkan bermula 2023, kerajaan telah menyalurkan jaminan bernilai RM20.9 bilion membabitkan 88,507 permohonan.
“Hal ini menunjukkan bahawa tanpa bantuan dan jaminan kerajaan, pembeli terutama golongan M40 dan B40 sukar membeli rumah. Ada yang berpendapat pinjaman sedia ada masih tidak mencukupi sebab rumah itu perlu dibaiki ataupun (memerlukan) kos pemindahan dan sebagainya,” katanya.
Sehubungan itu, beliau berkata SJKP MADANI kini menawarkan pinjaman hingga 120 peratus bagi membantu pembeli menampung perbelanjaan lain termasuk pemindahan dan pembelian perabot.
(Web Source: https://www.buletintv3.my/nasional/sasaran-bina-500000-rumah-mampu-milik-di-bawah-rmk12-capai-98-8-peratus-pm/)