SJKP bantu lebih ramai miliki kediaman sendiri

 Berita Harian, 15 November 2022

 

Gambar fail. Kawasan perumahan di Alam Suria, Puncak Alam. - NSTP/ASYRAF HAMZAH

Kuala Lumpur: Pengenalan Skim Jaminan Kredit Perumahan (SJKP) sudah membantu ramai rakyat untuk memiliki rumah sendiri, terutama mereka yang tidak mempunyai pendapatan tetap.

Pada Bajet 2022, kerajaan menyediakan RM2 bilion jaminan di bawah skim itu dan bercadang untuk menaikkannya kepada RM3 bilion dalam Bajet 2023 yang dibentangkan pada bulan lalu.

Presiden Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (REHDA), Datuk NK Tong, berkata skim berkenaan memberi peluang pembiayaan kepada sesetengah pihak yang tidak mempunyai pendapatan tetap seperti pekerja gig.

"SJKP ini disasarkan kepada pembeli rumah kali pertama dengan had pinjaman sehingga RM400,000.

"Maka ia sudah tentu akan membantu pekerja yang tergolong di dalam kategori ini untuk berpeluang memiliki rumah sendiri apabila sebelum ini mereka tidak mempunyai akses kepada pembiayaan," katanya kepada BH, ketika dihubungi.

SJKP ditubuhkan bagi membolehkan orang awam yang berkemampuan, tetapi tidak mempunyai bukti atau dokumen pendapatan secara rasmi (penyata gaji) atau memperoleh pendapatan secara tidak tetap untuk mendapatkan akses pembiayaan perumahan sehingga 100 peratus daripada institusi kewangan.

Bantu pekerja gaji harian

Pengerusi Eksekutif LBS Bina Group Bhd, Tan Sri Lim Hock San, berkata skim itu memberi kemudahan kepada pekerja bergaji harian, pemilik perniagaan berskala kecil serta golongan petani ke arah mendapatkan pinjaman perumahan dan memiliki rumah sendiri.

Katanya, skim pinjaman menerusi syarikat milik penuh Kementerian Kewangan itu adalah satu lagi usaha kerajaan untuk membantu lebih ramai rakyat memiliki rumah sendiri.

"LBS turut memuji langkah kerajaan kerana menyediakan jaminan berjumlah RM3 bilion di bawah SJKP.

"Ini secara positifnya bakal memberi faedah untuk mereka yang tergolong dalam isi rumah berpendapatan rendah kerana ia menggalakkan kesedaran bahawa adalah tidak mustahil untuk mereka memiliki kediaman idaman," katanya.

Pada Ogos lalu, Timbalan Menteri Kewangan 1, Datuk Mohd Shahar Abdullah di dalam Dewan Negara berkata, sebanyak 13,038 permohonan pembiayaan berjumlah RM1.5 bilion sudah diluluskan di bawah SJKP setakat 31 Mei 2022 sejak ia mula beroperasi pada 2008.

Katanya, sebanyak 14,308 permohonan sudah diterima dengan 1,270 daripadanya ditolak disebabkan beberapa faktor.

"Pertama; pertindihan permohonan yang mana 70 peratus daripadanya membuat permohonan di pelbagai bank secara serentak; kedua, dari segi kemampuan membayar iaitu mesti 65 peratus daripada jumlah pendapatan berikutan syaratnya mesti berpendapatan sekurang-kurangnya RM1,000.

"Ketiga, terdapat golongan T20 yang tidak bekerja turut memohon. Jadi, kita beranggapan mereka boleh menguruskannya sendiri dengan institusi bank," katanya pada sesi soal jawab di Dewan Negara baru-baru ini.

Pengarah Penyelidikan Rahim & Co International Sdn Bhd, Sr Sulaiman Saheh menyifatkan pelaksanaan SJKP sebagai sesuatu yang amat baik dan perlu diteruskan dalam membantu, terutama golongan B40 untuk memiliki rumah.

"Langkah meningkatkan peruntukan SJKP daripada RM2 bilion kepada RM3 bilion di dalam Bajet 2023 juga sememangnya adalah wajar.

"Golongan ini sukar mendapatkan pembiayaan daripada bank kerana tiada penilaian kredit disebabkan tidak mempunyai pendapatan tetap.

"Sedangkan, ramai sahaja yang sebenarnya mempunyai keupayaan untuk membayar dan mempunyai disiplin, tetapi bank tidak boleh menilainya. Jadi, dengan adanya SJKP ini ia membantu memudahkan mereka untuk mendapatkan akses pembiayaan," katanya.

 

(Web source:  https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2022/11/1025904/sjkp-bantu-lebih-ramai-miliki-kediaman-sendiri)