SJKP tingkat keyakinan pembeli
Harian Metro, 10 January 2025
PENUMPUAN kepada perumahan mampu milik dengan infrastruktur yang baik dapat memberi peluang kepada lebih ramai memiliki kediaman. - FOTO Arkib NSTP
Berdasarkan sumber, laporan pasaran harta tanah separuh pertama 2024, Pusat Maklumat Harta Tanah Negara (NAPIC) menunjukkan sebanyak 14,381 unit kediaman baru dilancarkan pada segmen harga bawah RM500,000 berbanding separuh tahun pertama 2023 iaitu sebanyak 9,589 unit kediaman baru pada segmen harga yang sama.
Pensyarah Kanan Bidang Harta Tanah, Kolej Pengajian Alam Bina, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam, Norulelin Huri berkata, berdasarkan trend ini, dijangka lebih banyak pelancaran kediaman dalam segmen bawah RM500,000 diteruskan terutamanya untuk memenuhi keperluan pembeli rumah pertama pada awal tahun ini.
Katanya, walaupun unit mampu milik semakin banyak, risiko lebihan bekalan (overhang) di segmen tertentu, terutama di lokasi kurang strategik, masih menjadi isu.
"Peningkatan harga bahan binaan boleh mempengaruhi harga rumah, walaupun dalam segmen mampu milik.
"Pengguna mungkin mendapat lebih banyak pilihan rumah dalam segmen harga rendah hingga sederhana, tetapi lokasi dan kualiti akan menjadi faktor utama dalam membuat keputusan," katanya.
Menurutnya, pada tahun 2024, tumpuan lebih kepada projek perumahan kos rendah kerana pengguna berhati-hati akibat peningkatan kos hidup dan kadar faedah yang tinggi.
"Sentimen pasaran lebih konservatif dengan banyak pembeli memilih untuk menyewa berbanding membeli.
"Pada 2025 pula, sokongan kerajaan melalui insentif seperti Skim Jaminan Kredit Perumahan (SJKP) dan pelepasan cukai dapat meningkatkan keyakinan pengguna untuk membeli rumah.
"Penumpuan kepada perumahan mampu milik dan kawasan pembangunan baharu dengan infrastruktur yang baik dapat memberi peluang kepada lebih ramai memiliki kediaman," katanya.
Mengulas lanjut, dengan kenaikan gaji penjawat awam dan penyasaran subsidi petrol, permintaan terhadap rumah mampu milik dijangka meningkat terutama dalam kalangan isi rumah berpendapatan rendah dan sederhana kerana pendapatan boleh guna yang lebih tinggi.
"Namun, jangkaan ini akan lebih berhasil sekiranya kos sara hidup sampingan lain seperti yuran taska, makanan dan infrastruktur dapat dikawal supaya tidak turut naik ekoran pengumuman kenaikan gaji.
"Golongan penjawat awam yang menerima kenaikan gaji mungkin lebih berupaya untuk mendapatkan pinjaman perumahan, meningkatkan pembelian rumah pertama.
"Bagaimanapun, penyusunan subsidi petrol mungkin mengurangkan kos sara hidup dalam jangka panjang, membolehkan lebih ramai pengguna mempertimbangkan pembelian rumah," katanya.
Norulelin berkata, bagi menarik minat pengguna memiliki kediaman dan merancakkan sektor hartanah, kerajaan boleh meningkatkan dana untuk projek perumahan mampu milik.
"Kerajaan boleh membantu dengan mengawal harga bahan binaan untuk mengurangkan kos pembinaan dan pada masa sama memperluaskan akses kepada skim pembiayaan mudah bagi pembeli rumah pertama.
"Pemaju juga boleh membantu dengan memberi fokus kepada pembangunan rumah mampu milik di lokasi strategik dan menawarkan pakej insentif seperti diskaun atau kos guaman percuma kepada pembeli pertama," katanya.
Beliau berharap, pasaran hartanah akan lebih stabil dengan permintaan kukuh terhadap perumahan mampu milik dan sederhana.
"Kerajaan dan pemaju diharap dapat bekerjasama untuk memastikan bekalan rumah memenuhi permintaan sebenar.
"Inisiatif untuk meningkatkan pemilikan rumah dalam kalangan generasi muda dan isi rumah berpendapatan rendah perlu diteruskan bagi menjamin pertumbuhan sektor ini secara mampan," katanya.
Beberapa faktor yang akan dipertimbangkan pengguna untuk memiliki kediaman pada tahun ini:
- Harga dan kemampuan
Sebilangan besar pengguna, terutama dari kumpulan isi rumah berpendapatan rendah dan sederhana, mencari rumah yang sesuai dengan pendapatan mereka.
Harga rumah bawah RM500,000 menjadi sasaran utama kerana ia lebih mampu milik bagi kebanyakan pembeli. Golongan profesional muda atau pasangan baru berkahwin mungkin lebih cenderung kepada unit kediaman kompak yang berharga RM250,000-RM400,000.
Keputusan untuk membeli juga dipengaruhi kadar faedah pinjaman perumahan. Sekiranya kadar faedah kekal rendah, pengguna akan lebih yakin untuk membuat komitmen kewangan jangka panjang.
Selain harga rumah, pengguna juga mempertimbangkan kos tambahan seperti duti setem, yuran guaman, bayaran bulanan penyelenggaraan (bagi apartmen), dan kos pengubahsuaian. - Lokasi
Lokasi menjadi faktor kritikal dengan rumah berhampiran pusat pekerjaan, kawasan perniagaan atau kawasan industri menjadi pilihan utama untuk mengurangkan masa perjalanan dan kos pengangkutan.
Contoh lokasi popular ialah Lembah Klang (Kajang, Rawang, Bangi) atau kawasan berhampiran stesen Transit Aliran Massa (MRT) dan Transit Aliran Ringan (LRT).
Kediaman berhampiran pengangkutan awam seperti stesen MRT3, LRT, atau Keretapi Tanah Melayu (KTM) menjadi lebih menarik kerana kemudahan perjalanan harian.
Projek Transit-Oriented Development (TOD) mendapat permintaan tinggi kerana ia menawarkan gabungan akses mudah dengan gaya hidup urban.
Pengguna juga mempertimbangkan lokasi yang berpotensi meningkatkan nilai hartanah mereka di masa depan, seperti kawasan pembangunan baharu atau bandar terancang (contohnya, Iskandar Malaysia, Nilai, atau Seremban).
KERAJAAN boleh membantu dengan mengawal harga bahan binaan untuk merancakkan sektor pembinaan. - FOTO Arkib NSTP
LOKASI kediaman berhampiran pengangkutan awam seperti stesen MRT menjadi pilihan pengguna. - FOTO Arkib NSTP
KEMUDAHAN yang disediakan menjadi antara pertimbangan utama pengguna sebelum membeli kediaman. - FOTO Arkib NSTP
- Kemudahan
Apartmen atau kondominium dengan kemudahan seperti kolam renang, gimnasium, taman permainan dan ruang komuniti menjadi tarikan bagi pembeli yang mencari gaya hidup moden.
Rumah berhampiran dengan sekolah, klinik, pusat membeli-belah, pasaraya atau taman rekreasi lebih menarik kerana memudahkan kehidupan seharian.
Pembangunan bandar terancang seperti IOI Resort City di Putrajaya menawarkan akses kepada semua kemudahan ini dalam satu kawasan, menjadikannya destinasi pilihan.
Komuniti berpagar dan berkawal mendapat permintaan tinggi kerana menyediakan tahap keselamatan tambahan terutamanya bagi keluarga dengan anak-anak kecil.
Bagaimanapun, faktor-faktor ini adalah bergantung kepada situasi dan status golongan sasaran. Untuk mereka yang berkemampuan, golongan profesional dan tidak mempunyai komitmen bulanan yang tinggi, kemungkinan mereka akan lebih selesa untuk meletakkan faktor kemudahan sekitar dan kemudahan dalam skim perumahan sebagai faktor utama dalam pembelian rumah.
Manakala, bagi golongan yang berpendapatan rendah dan sederhana, mereka akan meletakkan harga rumah sebagai indikator utama dalam pembelian rumah.
Semua bakal pembeli akan mengutamakan jarak lokasi ke tempat kerja dan capaian kemudahan harian sebagai faktor utama, namun komitmen bulanan dan kos sara hidup juga tidak boleh dipandang ringan. - Keadaan ekonomi
Dengan kenaikan gaji penjawat awam, pengguna dari golongan ini dijangka mempunyai lebih banyak pendapatan boleh guna untuk melabur dalam pembelian rumah. Bagaimanapun, penyasaran subsidi petrol mungkin memberi tekanan kepada perbelanjaan lain dalam jangka pendek, mempengaruhi keputusan untuk membeli rumah.
Keadaan ekonomi yang stabil dan kadar pengangguran yang rendah akan meningkatkan keyakinan pembeli. Sekiranya harga bahan binaan atau kadar inflasi meningkat, pengguna mungkin lebih berhati-hati untuk membuat keputusan pembelian.
Sesetengah pengguna membeli kediaman bukan hanya untuk dihuni tetapi juga sebagai pelaburan. Dalam kes ini, faktor seperti potensi sewa dan kenaikan nilai hartanah menjadi aspek penting.
Keputusan pengguna untuk memiliki kediaman pada tahun 2025 dipengaruhi gabungan faktor kemampuan kewangan, lokasi strategik, kemudahan yang tersedia dan keadaan ekonomi negara.
Rumah yang memenuhi kriteria harga mampu milik, lokasi berdekatan pengangkutan awam dan dilengkapi kemudahan moden dijangka menjadi pilihan utama pembeli.
(Web source: https://www.hmetro.com.my/PnP/2025/01/1174777/sjkp-tingkat-keyakinan-pembeli)