188,000 transaksi hartanah bernilai RM84 bilion dicatat pada H1 2022

Astro Awani, 14 September 2022


MOHD SHAHAR: Semua subsektor harta tanah iaitu kediaman, perdagangan, industri, pertanian dan tanah pembangunan mencatat peningkatan aktiviti transaksi pada separuh pertama 2022. -Gambar fail/Bernama

PUTRAJAYA: Lebih 188,000 transaksi hartanah bernilai RM84 bilion dicatatkan pada separuh pertama tahun 2022, kata Timbalan Menteri Kewangan Datuk Mohd Shahar Abdullah.

Ahli Parlimen Paya Besar itu berkata, situasi tersebut menunjukkan peningkatan lebih 30 peratus daripada segi bilangan dan nilai transaksi berbanding tempoh masa yang sama tahun 2021.

Katanya lagi, peningkatan prestasi harta tanah itu dilihat sejajar dengan pertumbuhan ekonomi yang mengukuh sebanyak 8.9 peratus pada suku kedua 2022, berbanding 5.0 peratus pada suku pertama 2022 dan 3.6 peratus pada suku keempat 2021.

“Semua subsektor harta tanah iaitu kediaman, perdagangan, industri, pertanian dan tanah pembangunan mencatat peningkatan aktiviti transaksi pada separuh pertama 2022.

"Jumlah nilai transaksi juga bergerak seiring dengan mencatatkan pertumbuhan bagi semua subsektor harta tanah.

“Subsektor kediaman terus memacu pasaran dengan menguasai lebih 60 peratus daripada bilangan keseluruhan transaksi dan hampir 54 peratus daripada keseluruhan nilai transaksi,” katanya lagi.

Mohd Shahar berkata, ia diikuti oleh subsektor pertanian dengan syer hampir 22.1 peratus daripada segi bilangan, manakala subsektor perdagangan di tempat kedua dengan syer 16.6 peratus daripada segi nilai transaksi.

Mohd Shahar berkata demikian ketika berucap melancarkan Laporan Pasaran Harta H1 2022 di Institut Penilaian Negara, di sini pada Rabu.

Mengikut siaran media yang dikeluarkan Pusat Maklumat Harta Tanah Negara (NAPIC), sektor harta tanah kediaman merekodkan 116,178 transaksi bernilai RM45.62 bilion dalam tempoh kajian, meningkatkan sebanyak 26.3% dalam bilangan dan 32.2% dalam nilai dari tahun ke tahun.

Empat negeri utama iaitu Pulau Pinang, WP Kuala Lumpur, Johor dan Selangor membentuk kira-kira 47% daripada jumlah keseluruhan kediaman nasional.

Segmen harta tanah komersial merekodkan 15,169 transaksi bernilai RM14.02 bilion, meningkat sebanyak 45.4% dalam bilangan dan 28.3% dalam nilai berbanding tempoh sama tahun lalu.

Selangor menyumbang bilangan dan nilai yang tinggi kepada syer pasaran nasional dengan 26.5% dalam bilangan (4,025 transaksi) dan 33.5% in nilai (RM4.70 bilion).

Mengulas lanjut, Mohd Shahar berkata, Kerajaan telah mempelbagaikan inisiatif bagi membantu meningkatkan aktiviti pasaran harta tanah negara.

“Program Pemilikan Rumah (Home Ownership Programme – HOPE), Inisiatif Pembiayaan Perumahan Malaysia melalui i-Biaya, Skim Jaminan Kredit Perumahan, Skim Rumah Pertamaku (SRP), dan skim baru Rent-to-Own (RTO) telah dilihat berjaya membantu pembeli rumah terutama dari Kumpulan B40 dan M40.

“Di samping itu, Inisiatif i-Miliki yang membabitkan pemberian pengecualian penuh duti setem ke atas surat cara pindahmilik dan perjanjian pinjaman, bagi pembelian rumah pertama berharga RM500,000 dan ke bawah.

“Manakala 50% pengecualian untuk rumah berharga melebihi RM500,000 hingga RM1 juta juga telah dilihat dapat meningkatkan pemilikan rumah di kalangan rakyat yang belum memiliki rumah,” katanya lagi.

Bagi merancakkan aktiviti transaksi pasaran sekunder (subsale), Mohd Shahar berkata, pelepasan Cukai Keuntungan Harta Tanah (CKHT) bagi harta tanah yang dilupus mulai tahun keenam dan seterusnya turut diberikan kepada individu warganegara dan pemastautin tetap (PR).

Menyentuh mengenai Belanjawan 2023, Mohd Shahar berkata, Kementerian Kewangan sedang dalam fasa akhir merangka Belanjawan 2023 yang akan dibentangkan pada 7 Oktober 2022.

Sesi Jelajah Bajet ke seluruh negara, katanya lagi, telah dijalankan untuk mendapatkan input daripada pihak berkepentingan agar belanjawan yang disediakan nanti adalah bersifat inklusif dan menyeluruh demi kebaikan bersama.

 

(Web source: https://www.astroawani.com/berita-malaysia/188000-transaksi-hartanah-bernilai-rm84-bilion-dicatat-pada-h1-2022-380929)