4,000 unit Residensi MADANI Putrajaya dijangka siap menjelang 2028

Wilayahku, 28 Oktober 2024

SEBANYAK 4,000 unit Residensi MADANI Putrajaya dijangka siap dibina menjelang tahun 2028 dalam usaha menyediakan Perumahan Mampu Milik kategori kos sederhana rendah di Wilayah Persekutuan.

Menurut Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, objektif utama kerajaan adalah membantu golongan sasar untuk memiliki kediaman yang selesa, persekitaran yang selamat, sihat dan sejahtera.

“Di samping mencapai matlamat Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 serta merealisasikan Dasar Perumahan Negara (2018-2025) dapat dicapai di Wilayah Persekutuan, perlu mengambil kira keperluan pemilikan rumah pertama yang mampu dimiliki.

“Malahan, kerajaan komited melalui Skim Jaminan Kredit Perumahan MADANI (SJKP-MADANI) dengan menyediakan peruntukan sebanyak RM10 billion bagi membantu lebih ramai rakyat Malaysia untuk memiliki rumah mampu milik dengan jaminan pembiayaan sehingga 120 peratus daripada harga kediaman rumah ditawarkan kepada pemohon yang layak,” katanya ketika menyempurnakan Majlis Peluncuran bagi tujuh projek pembangunan Residensi MADANI di Putrajaya.

Dalam masa sama, Anwar berkata Perbadanan Putrajaya (PPj) telah menyediakan tanah-tanah milik PPj sendiri untuk dibangunkan dengan Residensi MADANI dalam konteks pembangunan Residensi MADANI Putrajaya.

“Tujuh projek Residensi MADANI ini teletak di Presint 5, 7, 11, 16 dan 19 Wilayah Persekutuan Putrajaya iaitu Residensi MADANI Sentral, Serunai, Cemara, Cengkih, Cempaka, Mawar dan Melur.

“Oleh itu, saya suka ingatkan kepada pihak pemaju perumahan yang telibat dengan pembangunan Residensi MADANI Putrajaya supaya memastikan pembinaan ini dapat disiapkan pada tempoh yang ditetapkan sebagaimana yang telah diluluskan oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT).

“Saya mengharapkan agar semua pihak pemaju perumahan yang terlibat dengan pembangunan Residensi MADANI Putrajaya dapat memenuhi tempoh tersebut.

“Ini kerana sebarang kelewatan pastinya akan memberi impak kepada pembeli dalam kalangan golongan berpendapatan rendah (B40) dan saya tidak mahu perkara ini terjadi. Maka dalam hal ini, saya mohon pihak PPj untuk memantau rapat proses pembinaan tersebut,” tegas beliau pada Majlis Peluncuran Residensi MADANI Putrajaya di tapak Residensi Sentral, Presint 7, Putrajaya hari ini.

Turut hadir Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa; Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming; Ketua Setiausaha Negara; Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar dan Presiden Perbadanan Putrajaya, Datuk TPR Fadlun Mak Ujud.

Orang awam yang berminat untuk mengetahui lebih lanjut mengenai Residensi MADANI Putrajaya dan ingin membuat permohonan, boleh melayari maklumat di portal https://residensimadani.jwp.gov.my/, menyemak syarat-syarat permohonan dan membuat pendaftaran terus. – WILAYAHKU

 

(Web source: https://www.wilayahku.com.my/4000-unit-residensi-madani-putrajaya-dijangka-siap-menjelang-2028/)