Bajet 2023: Mobiliti bakal penghuni PPR paling penting

Harian Metro, 07 Oktober 2022

KANAK-KANAK bermain di padang ketika tinjauan di PPR di Kuala Lumpur. FOTO Aizuddin Saad

Kuala Lumpur: Peruntukan Projek Perumahan Rakyat (PPR) adalah wajar namun perlu disediakan dengan bentuk pinjaman kewangan yang bebas faedah.

Pensyarah Kanan, Fakulti Ekologi Manusia, Universiti Putra Malaysia (UPM) Prof Dr Ahmad Hariza Hashim berkata, perkara paling penting mengenai PPR ialah berkenaan dengan mobiliti bakal penghuni.

"Wajar peruntukan masih disediakan dengan fokus kawasan di Marang, Terengganu dan Arau, Perlis.

"Cuma yang penting ialah PPR ini bila hendak dibina dengan memikirkan mobiliti bakal penghuni. Ia sebaiknya berhampiran dengan kawasan pengangkutan awam serta kawasan yang menjadi tujuan pekerjaan," katanya ketika dihubungi.

Menurutnya, ia juga mestilah diagihkan dengan kepada mereka yang layak serta penyediaan bentuk pinjaman kewangan yang bebas faedah kepada mereka ini.

"Kita tidak mahu rumah ini dijadikan perumahan untuk pekerja kilang bila ia tidak terjual nanti seperti yang pernah berlaku pada program perumahan rakyat di pantai timur sebelum ini," katanya.

Sementara itu, mengulas berhubung jaminan kerajaan kepada mereka yang tiada pendapatan tetap, beliau berkata, fokus seharusnya diberikan rumah mampu sewa dan dalam bentuk sewa milik (RTO).

"Ini adalah disebabkan pemilikan rumah adalah satu komitmen dan mereka yang tidak mempunyai pendapatan yang tetap kemungkinan akan menghadapi masalah dalam pembayaran sekiranya mereka ini berhadapan dengan peristiwa yang tidak dijangka dan mereka tidak mempunyai simpanan untuk masa hadapan yang mencukupi," katanya.

Terdahulu, Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Tengku Abdul Aziz dalam pembentangan Bajet 2023 berkata, PPR disediakan peruntukan RM367 juta termasuk projek baharu di Marang, Terengganu dan Arau, Perlis untuk manfaat 12,400 bakal penghuni baharu.

"Program Rumah Mesra Rakyat pula membabitkan pembinaan 4,250 unit rumah dengan peruntukan RM358 juta.

"Syarikat Jaminan Kredit Perumahan (SJKP) menyediakan jaminan kerajaan atas pinjaman perumahan terutamanya untuk membantu peminjam tanpa pendapatan tetap seperti pekerja e-hailing yang sudah membantu lebih 14,000 peminjam.

"Bagi membantu sehingga 12,000 peminjam pada tahun 2023, kemudahan jaminan kerajaan melalui SJKP akan ditingkatkan sebanyak RM3 bilion," katanya.

 

(Web source: https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2022/10/890018/bajet-2023-mobiliti-bakal-penghuni-ppr-paling-penting)