Bank Muamalat bank pertama tawar pakej Super kerajaan untuk pembeli rumah pertama

Dagang News, 25 Julai 2025

KUALA LUMPUR 25 Julai – Bank Muamalat Malaysia Bhd menjadi bank pertama di negara ini yang menawarkan pakej Step-Up Prot Rate (Super) di bawah Skim Jaminan Kredit Perumahan (SJKP), inisiatif kerajaan yang bertujuan memperluas pemilikan rumah mampu milik dalam kalangan komuniti yang kurang mendapat akses pembiayaan.

Melalui produk Smart Mortgage SJKP Super, Bank Muamalat mengambil langkah proaktif menyokong agenda perumahan nasional kerajaan dengan menawarkan penyelesaian pembiayaan perumahan yang lebih inklusif dan eksibel, terutamanya untuk pembeli rumah pertama yang berpendapatan tidak tetap atau mempunyai sejarah kredit yang terhad. Pakej ini menyediakan pembiayaan eksibel sehingga RM500,000, termasuk perlindungan takaful berkurangan (mortgage reducing term takaful) atau takaful bertempoh (mortgage level term takaful), serta yuran guaman dan yuran penilaian hartanah.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Bank Muamalat, Khairul Kamarudin berkata, produk ini dibina berdasarkan penglibatan bank dalam skim SJKP sejak 2019, dan menyusuli pelancaran produk Smart Mortgage pada 2022.

“Penawaran inovatif ini direka untuk meringankan beban kewangan pemilikan rumah, khususnya dalam tempoh lima tahun pertama pembiayaan. Melalui pakej Super, pelanggan menikmati bayaran ansuran bulanan yang lebih rendah, memberi ruang kewangan untuk mengurus komitmen lain atau menambah simpanan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Khairul turut mengumumkan pengenalan varian SJKP Madani Step-Up, yang menawarkan pembiayaan sehingga 120 peratus — meliputi bukan sahaja pembelian rumah, tetapi juga kos pengubahsuaian, perabot dan kelengkapan dalaman.

“Bank Muamalat turut bekerjasama dengan pemaju hartanah terkemuka seluruh negara bagi

mempromosikan projek perumahan mampu milik di bawah skim SJKP, sekali gus membuka lebih banyak peluang kepada rakyat Malaysia yang layak untuk memiliki rumah pertama mereka,” tambah beliau.

Skim SJKP yang diwujudkan pada 2008 dan diuruskan oleh Syarikat Jaminan Kredit Perumahan Bhd di bawah Menteri Kewangan (Diperbadankan), menyasarkan bantuan kepada rakyat Malaysia yang tidak mempunyai pendapatan tetap atau formal dalam usaha memiliki kediaman pertama.

Pegawai Utama SJKP, Datuk Fazlur Rahman Zainuddin berkata, program ini menyasarkan golongan seperti pekerja gig, petani, nelayan, peniaga pasar malam dan penjaja kecil.

“Tahun ini, kerajaan telah memperuntukkan jaminan bernilai RM10 bilion bagi tahun 2025, termasuk RM5 bilion khusus untuk inisiatif pembiayaan Step-Up.

“Sehingga 31 Mei 2025, seramai 88,507 penerima telah berjaya membeli rumah pertama masing masing melalui skim ini,” katanya. — DagangNews.com (dagangnews.com)

 

(Web Source: https://www.dagangnews.com/article/terkini/bank-muamalat-bank-pertama-tawar-pakej-super-kerajaan-untuk-pembeli-rumah-pertama-54800)