Bank Muamalat perkenal pakej Step-Up Profit Rate di bawah pembiayaan rumah SJKP
Berita Harian, 25 Julai 2025
Bank Muamalat Malaysia Bhd - NSTP/ AZIAH AZMEE
KUALA LUMPUR: Bank Muamalat Malaysia Bhd menjadi bank pertama di Malaysia memperkenalkan pakej Step-Up Profit Rate (SUPER) di bawah Skim Jaminan Kredit Perumahan (SJKP), inisiatif yang disokong kerajaan bagi memperluas pemilikan rumah mampu milik dalam kalangan komuniti yang kurang mendapat perkhidmatan kewangan.
Bank Muamalat menerusi produk SMART Mortgage SJKP SUPER menawarkan penyelesaian pembiayaan perumahan yang inklusif dan fleksibel khusus untuk pembeli rumah pertama, terutamanya golongan yang berpendapatan tidak formal atau rekod kredit yang terhad.
Produk yang diperkenalkan pada 2022 ini turut mengukuhkan lagi penglibatan bank dalam SJKP sejak 2019.
Dalam satu kenyataan bersama Syarikat Jaminan Kredit Perumahan Bhd (SJKP Bhd), Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Bank Muamalat, Khairul Kamarudin, berkata inisiatif itu direka untuk mengurangkan beban kewangan pemilik rumah pertama, terutamanya ketika tempoh awal pembiayaan.
"Menerusi Step-Up Profit Rate, pelanggan menikmati ansuran bulanan yang lebih rendah bagi tempoh lima tahun pertama, sekali gus memberi ruang kepada mereka untuk mengurus komitmen kewangan lain atau mengumpul simpanan," katanya.
Sementara itu, Pegawai Utama SJKP Bhd, Datuk Fazlur Rahman Zainuddin, berkata bagi 2025, kerajaan memperuntukkan jaminan bernilai RM10 bilion bagi membolehkan institusi kewangan menawarkan pembiayaan kepada kumpulan sasar, termasuk peruntukan RM5 bilion bagi pembiayaan step-up.
"Sehingga 31 Mei 2025, kami berjaya membantu seramai 88,507 penerima skim ini untuk memiliki rumah pertama mereka," katanya.
SMART Mortgage SJKP SUPER menawarkan pembiayaan sehingga RM500,000, merangkumi perlindungan Takaful Bertempoh Berkurangan (MRTT) atau Takaful Bertempoh Tahap (MLTT), yuran guaman dan yuran penilaian hartanah.
Bank Muamalat turut menawarkan varian SJKP Madani SUPER yang menyediakan pembiayaan sehingga 120 peratus, termasuk perlindungan tambahan bagi kerja pengubahsuaian, kelengkapan dan perabot rumah, menawarkan penyelesaian menyeluruh dan praktikal untuk membantu pelanggan memiliki dan menduduki rumah dengan selesa.
Ia kini giat mempromosikan projek perumahan mampu milik di bawah skim SJKP dengan kerjasama pemaju hartanah yang bereputasi di seluruh negara, bagi memperluas peluang pemilikan rumah pertama dalam kalangan rakyat Malaysia yang layak.
-BERNAMA
(Web Source: https://www.bharian.com.my/bisnes/hartanah/2025/07/1424601/bank-muamalat-perkenal-pakej-step-profit-rate-di-bawah-pembiayaan)

