Bank Muamalat, TASConnect kerjasama permudah pembiayaan PKS

Sinar Harian, 3 September 2025

MoU kerjasama antara Bank Muamalat dan TASConnect ditandatangani Pengarah Perbankan Komersial Bank Muamalat, Datuk Nazir dan Pegawai Eksekutif Negara & Ketua Jualan Serantau TASConnect Malaysia, Tse Ning Chan sambil disaksikan Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Bank Muamalat, Datuk Khairul Kamarudin, COO SJPP, Juanita Rusmini dan CEO TASConnect, Kingshuk Ghoshal.

BANK Muamalat Malaysia Berhad (Bank Muamalat) mengumumkan kerjasama strategik dengan TASConnect, sebuah platform rantaian bekalan digital kewangan terkemuka, bagi menyediakan solusi pembiayaan yang lebih mudah diakses dan berkesan untuk perusahaan kecil dan sederhana (PKS) di seluruh negara.

Melalui inisiatif tersebut, PKS kini boleh mendapatkan modal kerja dengan lebih lancar, kelulusan lebih pantas, terma pembiayaan lebih baik selain tidak terlalu bergantung kepada cagaran yang tinggi.

Menurut Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Bank Muamalat, Datuk Khairul Kamarudin, pihaknya melihat PKS bukan sekadar penyumbang kepada ekonomi malah pemacu sebenar transformasi digital dan daya saing masa depan Malaysia.

“Akses kepada modal kerja sering menjadi jambatan antara kelangsungan dan pertumbuhan.

“Kerjasama dengan TASConnect ini menyediakan PKS dengan jambatan tersebut dalam cara yang lebih pantas, mudah serta patuh Syariah,” katanya dalam satu kenyataan.

Tambah beliau, dengan platform TASConnect, Bank Muamalat dapat melaksanakan proses kelulusan lebih cepat, meningkatkan ketelusan serta mempercepatkan pengeluaran dana, sekali gus memendekkan tempoh pemprosesan permohonan pembiayaan PKS.

Selain itu, dengan sokongan Skim Jaminan Kerajaan Madani (GGSM) kendalian Syarikat Jaminan Pembiayaan Perniagaan Berhad (SJPP), pendedahan risiko bank dapat dikurangkan dan membolehkan lebih banyak PKS berpeluang mendapatkan pembiayaan.

Kerjasama itu turut mengukuhkan kedudukan Bank Muamalat sebagai bank Islam terkemuka di Malaysia serta mencerminkan komitmen institusi berkenaan dalam menyokong agenda nasional untuk memperkasakan PKS dan memacu pemulihan ekonomi negara.

“Dengan menggabungkan penyelesaian digital inovatif bersama pembiayaan patuh Syariah, Bank Muamalat menunjukkan kefahaman mendalam terhadap keperluan pelanggannya serta secara aktif menawarkan penyelesaian yang mendorong kesejahteraan ekonomi dan pertumbuhan mampan,” katanya.

Sementara itu, Pegawai Eksekutif Negara & Ketua Jualan Serantau TASConnect Malaysia, Tse Ning Chan berkata, pengenalan GGSM3 hadir tepat pada masanya bagi membantu PKS yang memerlukan pembiayaan kukuh dalam suasana perniagaan mencabar.

“Kerjasama kami dengan Bank Muamalat akan membantu PKS mengukuhkan aliran tunai dan merebut peluang baharu, manakala jaminan SJPP pula mengurangkan risiko pembiaya,” katanya.

Majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) berlangsung pada Rabu dan berkuat kuasa serta-merta, membolehkan PKS yang layak di seluruh negara memohon pembiayaan melalui platform TASConnect.

 

(Web Source: https://www.sinarharian.com.my/article/746363/bisnes/bank-muamalat-tasconnect-kerjasama-permudah-pembiayaan-pks)