Bantuan khas kewangan RM500 kepada penjawat awam bukti keprihatinan kerajaan – Cuepacs

Sinar Harian, 10 October 2025

Adnan

SHAH ALAM - Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) menyambut baik pengumuman Bantuan Khas Kewangan (BKK) sebanyak RM500 kepada semua penjawat awam Gred 56 dan ke bawah termasuk lantikan kontrak seperti diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam pembentangan Belanjawan 2026 pada Jumaat.

Presidennya, Datuk Dr Adnan Mat berkata, sebanyak RM250 turut diumumkan diberikan kepada pesara kerajaan dan veteran berpencen serta tidak berpencen, selain peluasan Bantuan Insentif Berasaskan Prestasi (BIBP) kepada Kumpulan Pengurusan dan Profesional.

Menurutnya, langkah terbabit mencerminkan keprihatinan kerajaan terhadap tekanan kos sara hidup menjelang sambutan Aidilfitri tahun hadapan.

"Cuepacs turut menyambut baik pengumuman BKK sebanyak RM500 kepada semua penjawat awam Gred 56 dan ke bawah termasuk lantikan kontrak, serta RM250 kepada pesara kerajaan dan veteran berpencen serta tidak berpencen.

"Selain itu, peluasan BIBP kepada Kumpulan Pengurusan dan Profesional juga amat dihargai kerana memberi peluang kepada pegawai yang telah lama berkhidmat tetapi masih menunggu peluang kenaikan pangkat akibat kekangan struktur perjawatan," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Tambah beliau, pelaksanaan Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) Fasa 2 berkuat kuasa Januari 2026 dengan implikasi kewangan sebanyak RM18 bilion membuktikan kesungguhan kerajaan menstruktur semula skim gaji dan imbuhan lebih adil, seimbang dan mampan bagi semua kumpulan perkhidmatan.

"Cuepacs yakin pelaksanaan SSPA 2.0 menjadi pemangkin kepada peningkatan motivasi, kecekapan serta produktiviti penjawat awam seluruh negara," ujarnya lagi.

Menurutnya, langkah kerajaan memperuntukkan RM2.2 bilion bagi membina, menyelenggara dan membaiki kuarters penjawat awam termasuk doktor, jururawat, tentera, polis, guru, bomba dan penjara juga amat dihargai

Jelasnya, beberapa inisiatif utama disambut baik iaitu jaminan pinjaman sehingga 120 peratus melalui Syarikat Jaminan Kredit Perumahan Bhd (SJKP) bagi penjawat awam kontrak, manakala Bank Simpanan Nasional (BSN) menyediakan RM500 juta untuk pinjaman rumah pertama.

"Antara lain, termasuklah Lembaga Pembiayaan Perumahan Sektor Awam (LPPSA) menaikkan had pembiayaan kepada RM1 juta serta melanjutkan Skim Pembiayaan Perumahan Muda hingga 2026 dan kelonggaran pembiayaan kali kedua tanpa perlu menamatkan pinjaman pertama.

"Langkah itu jelas memperkukuh kesejahteraan dan kestabilan hidup penjawat awam muda serta kontrak di seluruh negara," menurut beliau.

Adnan memaklumkan, pihak mereka turut menghargai kenaikan Bantuan Sara Hidup pesara kontrak KEMAS daripada RM300 kepada RM500 sebulan, bayaran khas RM500 kepada pemegang Pingat Jasa Malaysia; dan elaun Sara Hidup RM900 sebulan kepada penerima Hadiah Latihan Persekutuan (HLP) Separa Biasiswa, dengan peningkatan jumlah penerima kepada 150 orang setahun.

Beliau menyifatkan, inisiatif terbabit memperlihatkan kesungguhan kerajaan untuk memperkukuh kebajikan dan pembangunan profesional penjawat awam.

Dalam perkembangan sama, katanya, ketegasan kerajaan mengekalkan pemotongan 20 peratus gaji Menteri Kabinet dihargai dan disifatkan sebagai contoh kepimpinan berintegriti dan teladan kepada seluruh jentera pentadbiran awam.

"Selain itu, kemudahan pengeluaran awal Gantian Cuti Rehat (GCR) sehingga RM10,000 bagi tujuan menunaikan haji menunjukkan keprihatinan kerajaan terhadap keseimbangan antara kesejahteraan duniawi dan rohani penjawat awam," katanya.

Justeru, Adnan menyatakan, Cuepacs menyambut baik dan menzahirkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim atas fokus besar kerajaan terhadap kebajikan penjawat awam dalam pembentangan Belanjawan Madani 2026 bertemakan ‘Belanjawan Rakyat’.

Kata beliau, pengumuman dan peruntukan terbabit merupakan manifestasi keprihatinan kerajaan terhadap pengorbanan dan jasa penjawat awam yang menjadi tulang belakang pentadbiran serta pelaksana dasar kerajaan.

Dalam perkembangan sama, beliau berkata, pelaksanaan SSPA 2.0 serta semua pengumuman berkaitan penjawat awam diharap dilaksanakan secara telus, menyeluruh dan tidak tertangguh supaya manfaatnya dapat dirasai segera oleh semua lapisan perkhidmatan awam di peringkat Persekutuan mahupun Negeri.

"Cuepacs juga menyeru semua penjawat awam agar terus mengekalkan komitmen, profesionalisme dan integriti dalam menyokong aspirasi Malaysia Madani menuju perkhidmatan awam lebih berdaya saing dan berkualiti," ujarnya lagi.

Adnan berpandangan, Belanjawan Madani 2026 adalah belanjawan yang menyentuh hati penjawat awam dan bukan sekadar angka, tetapi satu bentuk pengiktirafan yang tulus atas jasa dan peranan besar penjawat awam dalam menjayakan pentadbiran negara.

Ujarnya, penjawat awam kini lebih bersemangat untuk terus berkhidmat dengan dedikasi demi rakyat dan negara dengan pelaksanaan SSPA 2.0, insentif baharu dan perumahan lebih menyeluruh melalui Belanjawan 2026.

 

(Web Source: https://www.sinarharian.com.my/article/751902/khas/belanjawan/bantuan-khas-kewangan-rm500-kepada-penjawat-awam-bukti-keprihatinan-kerajaan---cuepacs)