Bantuan Khas Penghargaan Untuk Penjawat Awam, Kontrak, Pesara
Sumber Kini, 27 July 2023
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim
KUALA LUMPUR: Kerajaan mengumumkan pemberian bantuan khas penghargaan sebanyak RM300 kepada penjawat awam gred 56 ke bawah termasuk lantikan kontrak, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Menurut Perdana Menteri, bantuan khas penghargaan sebanyak RM200 pula akan diberikan kepada pesara kerajaan, termasuk pesara berpencen, penerima pencen terbitan, pesara Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), pesara bersara pilihan dan belum menerima pencen, veteran berpencen serta veteran tidak berpencen.
Katanya, beliau mengarahkan Kementerian Kewangan agar dapat meluluskan dan menyalurkan bantuan khas berkenaan dalam tempoh dua minggu dari sekarang.
“Dengan pemberian permulaan ini, diharap penjawat awam akan terus berusaha gigih untuk menyokong hasrat melaksanakan pembaharuan Ekonomi MADANI, memberi perkhidmatan terbaik, sekali gus membantu ruang fiskal kerajaan agar hasrat kerajaan untuk merealisasikan gaji baharu perkhidmatan awam menjadi kenyataan,” katanya.
Antara initipati ucapan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Majlis Peluncuran Ekonomi MADANI: Memperkasa Rakyat di sini, hari ini.
- Kerajaan sediakan bantuan khas penghargaan RM300 kepada penjawat awam gred 56 dan ke bawah, RM200 kepada pesara kerajaan.
- Kerajaan akan menawarkan kredit e-tunai RM100 kepada semua rakyat dewasa di negara ini yang berpendapatan tahunan RM100,000 ke bawah.
- Lebih 2.3 juta penjawat awam termasuk pesara dapat manfaat darupada Bantuan Khas Penghargaan yang akan dibayar dalam tempoh dua minggu
- Projek tebatan banjir di Kelantan, Pahang, Selangor dan Johor disegerakan demi melindungi masyarakat setempat daripada banjir
- Peruntukan tambahan RM800 juta disediakan untuk tangani isu bekalan air di Kelantan dan Sabah
- Kerajaan sediakan RM42 juta bagi Program Bina Kerjaya untuk tingkat kemahiran pekerja tidak formal
- Jaminan kerajaan sehingga RM5 bilion di bawah Syarikat Jaminan Kredit Perumahan untuk bantu rakyat miliki rumah
- Kerajaan akan tingkat pembiayaan untuk pacu pertumbuhan eksport termasuk Program Pembangunan Syarikat Pertengahan serta Geran Pembangunan Pasaran (MDG) dengan peruntukan tambahan RM20 juta
- Kerajaan bersama dengan GLIC akan melabur RM1 bilion dana tambahan secara padanan dengan dana swasta bagi menyokong syarikat pemula tempatan dan mendorong usahawan teknologi
- Kerajaan akan memperluas pelaksanaan program seperti Corporate Hackathon dan MYHackathon di bawah Pelan Hala Tuju Ekosistem Startup Malaysia (SUPER) 2021-2030 bagi mendekatkan rakyat dan syarikat pemula
- Malaysia perlu menilai semula konsep perkongsian awam-swasta (PPP) sedia ada untuk menjadi perkongsian dermawan-awam-swasta (PPPP)
- Kebebasan media harus diangkat, diperkasakan untuk beri rakyat berita dan maklumat yang adil dan benar, tangani pembohongan dan berita palsu
(Web source: https://sumberkini.my/bantuan-khas-penghargaan-untuk-penjawat-awam-kontrak-pesara/)