Belanjawan 2026: Kerajaan tunai komitmen kebajikan penjawat awam – CUEPACS
Malaysia Gazzete, 10 October 2025
Datuk Dr Adnan Mat
KUALA LUMPUR – Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) merakamkan penghargaan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim atas keprihatinan kerajaan terhadap kebajikan penjawat awam dalam pembentangan Belanjawan Madani 2026 bertemakan ‘Belanjawan Rakyat’.
Presidennya, Datuk Dr. Adnan Mat berkata, peruntukan serta pengumuman yang dibuat mencerminkan penghargaan dan pengiktirafan kerajaan terhadap jasa penjawat awam yang merupakan tulang belakang pelaksanaan dasar dan pentadbiran negara.
Menurutnya, pelaksanaan Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) Fasa 2 yang akan bermula Januari 2026 dengan implikasi kewangan sebanyak RM18 bilion merupakan langkah berani dan tepat oleh kerajaan.
“Ini jelas menunjukkan komitmen kerajaan untuk menyusun semula skim gaji dan imbuhan secara lebih adil, seimbang dan mampan kepada semua kumpulan perkhidmatan.
“CUEPACS yakin SSPA 2.0 akan menjadi pemangkin kepada peningkatan motivasi, kecekapan serta produktiviti penjawat awam di seluruh negara,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau turut mengalu-alukan pengumuman Bantuan Khas Kewangan (BKK) sebanyak RM500 kepada penjawat awam Gred 56 ke bawah termasuk lantikan kontrak serta RM250 kepada pesara kerajaan dan veteran.
“Langkah ini tepat pada masanya memandangkan rakyat sedang berhadapan dengan tekanan kos sara hidup menjelang sambutan Aidilfitri tahun hadapan.
“CUEPACS juga menyambut baik peluasan Bantuan Insentif Berasaskan Prestasi (BIBP) kepada Kumpulan Pengurusan dan Profesional yang telah lama berkhidmat tetapi masih menunggu peluang kenaikan pangkat,” tambahnya.
Adnan berkata, kerajaan turut menunjukkan komitmen tinggi dalam aspek perumahan dengan peruntukan RM2.2 bilion untuk membina, menyelenggara dan membaiki kuarters penjawat awam.
Antara langkah utama yang mendapat perhatian termasuk jaminan pinjaman sehingga 120 peratus melalui SJKP bagi penjawat awam kontrak; BSN menyediakan RM500 juta untuk pinjaman rumah pertama; LPPSA menaikkan had pembiayaan kepada RM1 juta serta melanjutkan Skim Pembiayaan Perumahan Muda hingga 2026 dan kelonggaran pembiayaan kali kedua tanpa perlu menamatkan pinjaman pertama.
“Langkah ini jelas memperkukuh kesejahteraan dan kestabilan hidup penjawat awam muda serta kontrak di seluruh negara,” ujarnya.
CUEPACS juga kata beliau, menghargai beberapa langkah tambahan lain termasuk kenaikan Bantuan Sara Hidup pesara kontrak KEMAS daripada RM300 kepada RM500; bayaran khas RM500 kepada pemegang Pingat Jasa Malaysia; elaun sara hidup RM900 sebulan kepada penerima Hadiah Latihan Persekutuan (HLP) Separa Biasiswa dengan jumlah penerima ditingkatkan kepada 150 orang setahun.
“Inisiatif ini bukan sahaja meningkatkan kebajikan malah menyokong pembangunan profesional penjawat awam secara menyeluruh,” katanya.
Dalam pada itu, CUEPACS turut menghargai ketegasan kerajaan dalam mengekalkan pemotongan 20 peratus gaji menteri Kabinet sebagai contoh kepimpinan berintegriti.
“Selain itu, kemudahan pengeluaran awal Gantian Cuti Rehat (GCR) sehingga RM10,000 bagi tujuan menunaikan Haji membuktikan keprihatinan kerajaan terhadap keseimbangan duniawi dan rohani penjawat awam,” jelasnya.
CUEPACS menzahirkan harapan agar semua inisiatif dan pelaksanaan SSPA 2.0 dilakukan secara telus, menyeluruh dan tidak tertangguh agar manfaatnya dapat dirasai oleh seluruh lapisan penjawat awam di peringkat Persekutuan dan Negeri.
“CUEPACS menyeru semua penjawat awam agar terus mengekalkan komitmen, profesionalisme dan integriti dalam menyokong aspirasi Malaysia Madani,” kata Adnan.
Beliau menyifatkan Belanjawan Madani 2026 sebagai belanjawan yang menyentuh hati penjawat awam bukan sekadar angka tetapi satu bentuk pengiktirafan tulus atas jasa dan peranan besar mereka dalam menjayakan pentadbiran negara.
“Dengan pelaksanaan SSPA 2.0, insentif baharu dan inisiatif perumahan yang menyeluruh, penjawat awam kini lebih bersemangat untuk terus berkhidmat dengan dedikasi demi rakyat dan negara,” katanya. – MalaysiaGazette
(Web Source: https://malaysiagazette.com/2025/10/10/belanjawan-2026-kerajaan-tunai-komitmen-kebajikan-penjawat-awam-cuepacs/)

