Belanjawan 2026 pacu pertumbuhan ekonomi domestik – Amir Hamzah
TV Sarawak, 10 October 2025
Amir Hamzah bercakap dalam sidang media selepas pembentangan Belanjawan 2026 di Dewan Rakyat oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini. Foto, TVS.
KUALA LUMPUR, 10 Okt: Belanjawan MADANI 2026 disifatkan sebagai anggaran perbelanjaan paling menyeluruh yang akan memacu pertumbuhan ekonomi negara dengan pendekatan lebih inklusif.
Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, peruntukan keseluruhan berjumlah RM470 bilion, meningkat berbanding RM452 bilion pada tahun sebelumnya, menunjukkan kesungguhan kerajaan untuk menggembleng sumber daripada pelbagai pihak termasuk syarikat berkaitan kerajaan (GLIC, GLC), rakan kongsi awam swasta (PPP) serta badan berkanun bagi memperkukuh ekonomi negara.
“Alhamdulillah tahun ini, Belanjawan 2026 adalah yang paling besar dengan dana RM470 bilion. Pendekatan ini melibatkan kerjasama antara kerajaan, badan berkanun dan juga sektor swasta di mana semua perlu berganding bahu untuk membina Malaysia ke arah yang lebih baik,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas pembentangan Belanjawan 2026 oleh Perdana Menteri di Dewan Rakyat hari ini.
Pada sesi bermula pukul 4 petang itu, Anwar memperincikan Belanjawan 2026 berjumlah RM419.2 bilion yang merupakan belanjawan terbesar dalam sejarah negara.
Jumlah tersebut melebihi rekod perbelanjaan sebanyak RM412.1 bilion bagi tahun ini, yang disemak semula daripada peruntukan awal RM421 bilion.
Sementara itu tambah Amir Hamzah menegaskan, belanjawan kali ini berteraskan kerangka Ekonomi MADANI, dengan fokus merancakkan ekonomi melalui peningkatan pelaburan, memperkukuh industri kecil dan sederhana (PKS) serta memacu reformasi dalam Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13).
“Peningkatan ini akan membantu PKS memperbesarkan industri mereka dan bergerak ke peringkat global untuk memperkukuh pasaran eksport Malaysia,” jelasnya.
Selain itu, katanya, Belanjawan 2026 turut menekankan agenda reformasi perumahan, termasuk pengecualian duti setem bagi rumah berharga bawah RM500,000 dan peningkatan Skim Jaminan Kredit Perumahan (SJKP) kepada RM20 bilion, bagi membantu golongan muda memiliki kediaman pertama.
“Ini adalah belanjawan yang bersifat aktif dalam merancakkan ekonomi domestik dan memberi keyakinan bahawa kita mampu memperkukuh pertumbuhan dari dalam negara, walaupun berdepan cabaran ekonomi global,” katanya.
Amir Hamzah turut menegaskan kejayaan kerajaan menambah baik tadbir urus dan menangani ketirisan hasil membolehkan lebih banyak dana disalurkan kepada sektor penting seperti pendidikan dan kesihatan. -TVS
(Web Source: https://www.tvsarawak.my/2025/10/10/belanjawan-2026-pacu-pertumbuhan-ekonomi-domestik-amir-hamzah/)

