Belanjawan 2026: RM2.2 bilion peruntukan bina, naik taraf kuarters penjawat awam

TV Sarawak, 10 October 2025

Datuk Seri Anwar Ibrahim selepas selesai membentangkan Belanjawan 2026 di Dewan Rakyat Bangunan Utama Parlimen hari ini.Foto, Bernama.

KUALA LUMPUR, 10 Okt: Kerajaan memperuntukkan hampir RM2.2 bilion bagi membina, menyelenggara dan membaiki kuarters penjawat awam di seluruh negara.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, antara projek utama ialah pembinaan rumah keluarga angkatan tentera di Pangkalan Udara Kuantan, Pahang yang bakal memberi manfaat kepada hampir 800 anggota dengan kos RM500 juta.

Selain itu, kata beliau kerajaan juga akan memperoleh rumah sedia ada untuk dijadikan kuarters kepada anggota Markas Keselamatan Timur Sabah (ESSCOM) di Lahad Datu, Sabah, serta anggota Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) di Lipis, Pahang dan Kuala Lumpur.

“(Selain itu) Syarikat Jaminan Kredit Perumahan (SJKP) akan menjamin pinjaman perumahan pertama sehingga 120 peratus dengan nilai keseluruhan RM1 bilion.

“Bank Simpanan Nasional (BSN) pula menyediakan RM500 juta untuk membiayai pinjaman rumah pertama penjawat awam kontrak seperti guru Tabika dan Taska KEMAS,” katanya ketika membentangkan Belanjawan 2026 di Dewan Rakyat hari ini.

Dalam pada itu, Anwar memaklumkan bahawa Lembaga Pembiayaan Perumahan Sektor Awam (LPPSA) akan dilanjutkan sehingga 31 Disember 2026 yang akan memanfaatkan 48,000 penjawat awam muda berumur bawah 30 tahun.

Anwar menambah, had kelayakan maksimum pembiayaan LPPSA dinaikkan kepada RM1 juta, seiring pelarasan gaji serta peningkatan harga pasaran hartanah.

“Susulan kenaikan ini, pembiayaan kali kedua akan dipermudah tanpa perlu menyelesaikan pinjaman pertama, tertakluk kepada baki kelayakan pembiayaan,” katanya. – TVS

 

(Web Source: https://www.tvsarawak.my/2025/10/10/belanjawan-2026-rm2-2-bilion-peruntukan-bina-naik-taraf-kuarters-penjawat-awam/)