Dewan Rakyat: Isu perumahan mampu milik tetap menjadi fokus Kerajaan

TVS, 28 August 2025

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa kerajaan memberi tumpuan serius terhadap penyediaan perumahan mampu milik sebagai antara keutamaan asas rakyat selain isu air dan tenaga. Foto hiasan Envato

KUALA LUMPUR, 28 Ogos: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa kerajaan memberi tumpuan serius terhadap penyediaan perumahan mampu milik sebagai antara keutamaan asas rakyat selain isu air dan tenaga.

Anwar berkata walaupun sasaran perumahan dalam Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12) adalah tinggi, pelaksanaan sebelumnya agak lemah, namun melalui pemantauan rapat oleh Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT), pencapaian kini telah hampir mencapai sasaran.

“Sehingga 30 Jun 2025, unit yang telah siap ialah 197,311 dengan tambahan 217,371 unit (43.5 peratus) sedang dibina, manakala 79,192 (15 peratus) telah mendapat kelulusan merancang.

“Secara keseluruhan, 493,874 unit kini berada dalam pelbagai peringkat pelaksanaan iaitu 98.8 peratus daripada sasaran RMK12,” katanya bagi menjawab pertanyaan Ahli Parlimen Kuala Terengganu Datuk Ahmad Amzad Mohamed@Hashim mengenai bilangan terkini rumah mampu milik yang telah siap dibina di bawah RMK12 serta peratusan pencapaian setakat ini.

Perdana Menteri optimis baki 6,126 unit yang belum disiapkan dapat diselesaikan dengan kerjasama kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan.

Dalam memperluas akses kepada perumahan, Anwar turut menyentuh pelbagai inisiatif kerajaan termasuk kaedah Sewa Milik (Rent to Own), projek Transit Oriented Development (TOD) serta projek Kota Madani yang dilancarkan di Putrajaya dan akan diperluas ke Cheras.

“Di Putrajaya, 90 peratus daripada 10,000 unit perumahan Kota Madani dikhususkan untuk penjawat awam iaitu 3,000 dalam fasa pertama dan 7,000 fasa kedua. Ini penting kerana permintaan perumahan penjawat awam masih tinggi,” jelas beliau.

Mengulas isu pembiayaan, Anwar berkata, Skim Jaminan Kredit Perumahan (SJKP) yang diperkenalkan sejak 2008 kini menerima suntikan baharu apabila kerajaan memberikan jaminan penuh bernilai RM20 bilion mulai 2023.

“Dengan itu, sebanyak 88,507 permohonan telah diluluskan melibatkan jumlah pembiayaan RM20.9 bilion. Ini membantu golongan B40 dan M40 yang sebelum ini sukar mendapatkan pinjaman,” katanya.

Beliau turut mengumumkan pelaksanaan SJKP Madani yang membolehkan pembeli rumah mendapat pembiayaan sehingga 120 peratus bagi menampung kos pindah, baik pulih rumah dan pembelian perabot.

Selain itu, Anwar memaklumkan bahawa permintaan terhadap rumah mampu milik dalam kalangan anak muda dan penjawat awam adalah amat tinggi khususnya di Putrajaya dan Kuala Lumpur dengan lebih 10,000 permohonan baharu setiap tahun.

“Sebab itu kita beri keutamaan penuh kepada segmen ini. Saya minta menteri KPKT nanti beri angka lebih terperinci, termasuk peratusan penglibatan belia dalam skim pinjaman,” katanya. – TVS

 

(Web Source: https://www.tvsarawak.my/2025/08/28/dewan-rakyat-isu-perumahan-mampu-milik-tetap-menjadi-fokus-kerajaan/)