Dewan Rakyat: Kerajaan Persekutuan perkukuh komitmen perumahan mampu milik di Sarawak
TVS, 5 Februari 2025
Kerajaan Persekutuan terus memperkukuh usaha menyediakan perumahan mampu milik di Sarawak selaras dengan Dasar Perumahan Negara (2018-2025) dan Rancangan Malaysia Kedua Belas (RMKe-12). Foto hiasan Envato
KUALA LUMPUR, 5 Feb: Kerajaan Persekutuan terus memperkukuh usaha menyediakan perumahan mampu milik di Sarawak selaras dengan Dasar Perumahan Negara (2018-2025) dan Rancangan Malaysia Kedua Belas (RMKe-12).
Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Aiman Athirah Sabu berkata, sehingga 30 September 2024, sebanyak 14,921 unit rumah telah diluluskan di Sarawak, dengan 4,566 unit siap, 7,703 unit dalam pembinaan, dan 2,652 unit dalam perancangan.
“Program Perumahan Rakyat (PPR) atau Program Residensi Rakyat (PRR) untuk B40; 5,452 unit diluluskan, 4,791 unit siap, 661 unit dalam perancangan manakala, program Rumah Mesra Rakyat (RMR) untuk B40 untuk B40; 2,862 unit diluluskan, 2,840 unit siap, 22 unit dalam pembinaan,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.
Selain itu, menurutnya, kediaman Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) untuk M40; 2,746 unit, kedua-dua projek telah siap dan PR1MA untuk M40; 2,747 unit diluluskan, 2,263 unit siap, 484 unit dalam perancangan.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Dr Richard Rapu (Gabungan Parti Sarawak – Betong) yang ingin tahu langkah-langkah yang diambil oleh Kementerian untuk menangani isu perumahan mampu milik bagi golongan berpendapatan rendah di Sarawak.
Mengulas lanjut, Aiman menjelaskan, Kerajaan Persekutuan bekerjasama erat dengan Kerajaan Sarawak, HDC Sarawak serta pemaju swasta untuk mempercepatkan penyediaan rumah mampu milik, selain menyediakan insentif khas bagi menarik lebih ramai pemaju.
“Walaupun pelaksanaan program MyHome tidak diteruskan oleh pihak Kerajaan, namun pemberian subsidi masih diteruskan bagi perumahan melalui pelaksanaan pelbagai inisiatif dan program perumahan seperti Projek PPR atau PRR serta inisiatif pembiayaan seperti Skim Jaminan Pelaksanaan Perumahan (SJKP) di bawah inisiatif i-Biaya.
“Melalui pelaksanaan SJKP, sebanyak 1,881 pinjaman perumahan dengan nilai jaminan pembiayaan sebanyak RM456.52 juta telah diluluskan bagi pemohon di negeri Sarawak sehingga 30 September 2024,” katanya.
Justeru, katanya, dengan pelbagai inisiatif yang dilaksanakan, lebih ramai rakyat Sarawak akan mendapat manfaat daripada program perumahan mampu milik ini. – TVS
(Web source: https://www.tvsarawak.my/2025/02/05/dewan-rakyat-kerajaan-persekutuan-perkukuh-komitmen-perumahan-mampu-milik-di-sarawak/)