Ekonomi MADANI: Jaminan pembiayaan sehingga 120% bantu rakyat miliki rumah pertama - PM Anwar
Dagang News, 27 Julai 2023
KUALA LUMPUR 27 Julai - Kerajaan mengumumkan penambahbaikan skim pinjaman di bawah Syarikat Jaminan Kredit Perumahan (SJKP) dengan menyediakan jaminan pembiayaan sehingga120% dari harga rumah bernilai sehingga RM300,000, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Perdana Menteri berkata, jaminan 120% akan membolehkan semua kos-kos pemilikan rumah ditampung melalui pinjaman termasuk jumlah pembiayaan pokok, yuran guaman, yuran penilaiandan insurans serta pembelian perabut dan kos ubahsuai.
"Kerajaan mendengar keluh kesah rakyat berkaitan hasrat untuk memiliki rumah pertama yang tertangguh kerana tidak mampu menyediakan deposit pembelian rumah.
"Sehubungan itu, jaminan kerajaan sehingga RM5 bilion akan disediakan," katanya ketika berucap pada Majlis Pelancaran Ekonomi MADANI: Memperkasakan Rakyat di sini, hari ini.
Anwar berkata, perumahan juga merupakan keperluan asas yang mesti diberi tumpuan, yang mana terdapat ketidakpadanan antara penawaran bekalan rumah baharu dan tahap kemampuan pada sudut permintaan.
Katanya, Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan sedang mengusahakan Pelan Tindakan Perumahan Negara yang antaranya merangkumi keperluan bekalan rumah berpandukan metrik seperti catuan harga rumah median untuk pendapatan median.
"Penyediaan perumahan awam turut diteruskan di samping merancakkan pasaran sewa sebagai usaha memenuhi keperluan perumahan," katanya.
Sementara itu, beliau berkata, sebahagian penduduk di Kelantan dan Sabah tidak mempunyai akses kepada bekalan air yang konsisten dan berkualiti.
Katanya, bagi menangani isu tersebut, Kerajaan Perpaduan bersetuju untuk menyediakan keseluruhan RM800 juta tambahan bagi rumusan jangka pendek untuk kedua-dua negeri ini.
"Selain itu, kerajaan akan menyegerakan pelaksanaan projek tebatan banjir, seperti di Kelantan,Pahang, Selangor dan Johor demi melindungi masyarakat setempat daripada ditimpa bencanabanjir," katanya.
Dalam perkembangan sama, beliau turut mengumumkan hasrat kerajaan untuk melaksanakan pembesaran lapangan terbang Pulau Pinang dan Subang bagi menambah baik jaringan kesalinghubungan udara untuk rakyat serta pelancong.
"Kerajaan juga komited untuk menambah baik prasarana pengangkutan bagi bandar utama termasuk pelaksanaan Bas Rapid Transport di Johor Bharu dan Transit Aliran Ringan (LRT) di Pulau Pinang," katanya.
Tambahnya, pelaksanaan Mass Rapid Transit (MRT3) di Lembah Klang juga akan diteruskan pelaksanaannya setelah memastikan kos projek yang munasabah untuk kerajaan. - DagangNews.com
(Web source: https://dagangnews.com/article/ekonomi-madani-jaminan-pembiayaan-sehingga-120-bantu-rakyat-miliki-rumah-pertama-pm-anwar-28710)