Inisiatif mesra rakyat Ekonomi Madani rangsang sektor hartanah – REHDA

Bebas News, 17 August 2023

Gambar hiasan - Foto via Microsoft Bing Blogspot

PETALING JAYA — Inisiatif mesra rakyat yang dilaksanakan kerajaan seperti kerangka Ekonomi MADANI dilihat positif dalam merangsang sentimen dalam pasaran hartanah, demikian kata Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (REHDA).

Presidennya, Datuk NK Tong, berkata lazimnya, usaha kerajaan yang mesra rakyat akan menyokong sentimen meskipun persekitaran operasi kekal mencabar berikutan peningkatan kos bahan binaan.

Beliau berkata, langkah kerajaan seperti menambah baik skim pinjaman di bawah Syarikat Jaminan Kredit Perumahan (SJKP) dijangka akan menyokong belian hartanah.

Katanya, berdasarkan Kajian Industri Hartanah REHDA bagi Separuh Pertama 2023 dan Tinjauan Pasaran bagi Separuh Kedua 2023 dan Separuh Pertama 2024, responden menjangkakan kos bahan binaan akan meningkat 15 peratus pada separuh kedua tahun ini.

Jelasnya, peningkatan kos binaan itu adalah disebabkan oleh peningkatan purata harga bagi simen , konkrit dan pasir.

“Dengan usaha kerajaan yang lebih mesra rakyat, saya rasa ia baik untuk sentimen pasaran dan belian hartanah,” katanya pada taklimat media mengenai Kajian Industri Hartanah REHDA bagi Separuh Pertama 2023 dan Tinjauan Pasaran bagi Separuh Kedua 2023 dan Separuh Pertama 2024 di sini, hari ini.

Hasil kajian REHDA membabitkan 148 ahlinya itu menunjukkan responden mengekalkan pandangan yang kebanyakannya neutral terhadap tinjauan industri bagi separuh kedua 2023, namun agak optimis bagi separuh pertama 2024.

Kira-kira separuh daripada responden bercadang untuk melancarkan projek mereka pada separuh kedua 2023 dengan tiga perempat daripada mereka menjangkakan prestasi jualan 50 peratus ke bawah.

Kebanyakan rancangan pelancaran hartanah adalah berharga antara RM150,001 hingga RM300,000, terutama di Kedah/Perlis, Melaka, Pahang, Pulau Pinang dan Perak.

Tong berkata, peningkatan bilangan pelancaran dan jualan adalah petanda positif ke arah pasaran hartanah kembali normal secara perlahan-lahan.

Namun, beliau berkata, pemulihan sebenar masih di luar jangkauan memandangkan pemaju masih bergelut dengan cabaran yang masih belum dapat ditangani seperti kenaikan harga bahan binaan, subsidi silang, kos pematuhan dan utiliti yang tinggi.

Mengenai impak kenaikan Kadar Dasar Semalaman (OPR), Tong berkata, pihaknya optimis pasaran akan menyerap sebarang perubahan dalam OPR.

Beliau berkata, impak kenaikan OPR dijangka terhad memandangkan untuk jangka panjang orang ramai akan menyedari hartanah adalah sebagai pelaburan lindung nilai bagi inflasi.

– BH

 

(Web source: https://bebasnews.my/2023/08/17/inisiatif-mesra-rakyat-ekonomi-madani-rangsang-sektor-hartanah-rehda/)