Inisiatif pastikan rakyat miliki kediaman terus dipertingkat
BH Online, 8 November 2021
Bajet 2022 dibentangkan 29 Oktober lalu oleh Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, bertemakan 'Keluarga Malaysia, Makmur Sejahtera'.
Kerajaan memperuntukkan RM1.5 bilion bagi meneruskan projek perumahan golongan berpendapatan rendah. - Foto hiasan/Khairul Azhar Ahmad
Dengan nilai RM332.1 bilion, peruntukan kali ini yang tertinggi pernah direkodkan dalam sejarah belanjawan Malaysia.
Memberi fokus kepada rakyat yang sejahtera, perniagaan berdaya tahan dan ekonomi makmur dan mapan antara perancangan penting kerajaan.
Sasarannya, memastikan masa depan negara pada 2022 lebih berdaya saing dan mengutamakan kepentingan rakyat daripada pelbagai lapisan masyarakat tanpa mengira agama, bangsa atau kaum.
Ternyata, pembentangan Bajet 2022 saat dinantikan seluruh rakyat Malaysia untuk mendengar pengumuman inisiatif serta bantuan kerajaan kepada masyarakat, ketika negara masih dilanda kemelut pasca pandemik COVID-19 dan fasa pemulihan ekonomi yang dianggap kritikal.
Oleh itu, menjadi tanggungjawab kerajaan juga untuk memastikan semua bantuan dan inisiatif kepada rakyat diagihkan kepada sasaran dengan cekap dan berkesan.
Dari satu sudut, inti pati Bajet 2022 turut memfokuskan perancangan kerajaan dalam merancakkan semula sektor hartanah yang terjejas teruk akibat pandemik sejak Mac 2020.
Banyak projek pembangunan hartanah yang terbengkalai disebabkan penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) untuk mengekang penularan COVID-19.
Ia juga melumpuhkan industri berkenaan apabila ramai pekerja sektor pembinaan dijangkiti wabak yang meragut nyawa ini.
Selain itu, kadar kehilangan pekerjaan dan tahap pengangguran tinggi dihadapi masyarakat juga mengakibatkan golongan B40 dan M40 berdepan masalah kewangan, sekali gus menyebabkan banyak tunggakan pinjaman yang perlu diselesaikan dengan pihak bank.
Penawaran pemberian penangguhan bayaran pinjaman oleh institusi perbankan secara moratorium juga bersifat sementara dan tidak dapat membantu masyarakat mengatasi masalah kewangan yang mereka hadapi masa kini.
Justeru, masyarakat mula sedar untuk bertahan dalam keadaan serba mencabar kini, mereka tiada pilihan dan terpaksa mengambil keputusan drastik dengan menjual rumah bagi memastikan beban kewangan keluarga dapat diminimumkan bagi tujuan kelangsungan hidup.
Jelas sekali keprihatinan ditunjukkan kerajaan apabila menyedari kemelut dan masalah dihadapi masyarakat hari ini.
Ia terzahir melalui inisiatif pengecualian bayaran Cukai Keuntungan Harta Tanah (CKHT) kepada keuntungan yang diperoleh hasil pelupusan hartanah oleh warga negara, pemastautin tetap dan syarikat bagi tempoh pegangan enam tahun ke atas.
Inisiatif diberi kerajaan ini dilihat sangat membantu golongan terjejas bagi mendapatkan keuntungan maksimum tanpa dikenakan cukai, seperti mana amalan dilaksana sebelum ini bagi penjualan harta tanah.
Wang yang diperoleh hasil penjualan harta tanah ini secara tidak langsung dapat digunakan masyarakat bagi menampung keperluan kehidupan seharian, sehingga keadaan ekonomi kembali pulih seperti sedia kala.
Selain itu, kerajaan menyediakan jaminan sehingga RM2 bilion kepada bank melalui Skim Jaminan Kredit Perumahan bagi memberi akses pembiayaan kepada golongan yang sukar mendapatkan pinjaman dan mempunyai keupayaan untuk membayar balik pinjaman, tetapi tiada bukti pendapatan tetap untuk membeli rumah.
Inisiatif ini dilihat dapat memberi peluang kepada masyarakat berpendapatan rendah untuk memiliki rumah untuk keselesaan keluarga mereka dengan lebih mudah.
Tambahan juga, bagi memastikan kemakmuran dan kesejahteraan Keluarga Malaysia, menerusi Bajet 2022 kerajaan akan memperuntukkan RM1.5 bilion bagi meneruskan projek perumahan golongan berpendapatan rendah.
Semoga dengan peruntukan diberikan kerajaan dalam memastikan kebajikan keseluruhan masyarakat yang memerlukan harta tanah kediaman ini, dapat direalisasikan melalui pelaksanaan dan pengagihan peruntukan ini, disasarkan kepada penerima sebenar dan kesejahteraan masyarakat berpendapatan rendah akan lebih terjamin pada masa hadapan.
Penulis adalah Pensyarah Kanan Pusat Pengajian Pengurusan Hartanah, Fakulti Senibina Perancangan dan Ukur, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam
(Web source: https://www.bharian.com.my/rencana/komentar/2021/11/884900/inisiatif-pastikan-rakyat-miliki-kediaman-terus-dipertingkat)