Jaminan pembiayaan hingga 120 peratus atasi masalah pembelian rumah

Harian Metro, 28 Julai 2023

Shah Alam: Pengumuman kerajaan mengenai jaminan pembiayaan sehingga 120 peratus bagi rumah yang berharga bawah RM300,000 dijangka mampu mengatasi masalah pembeli mendapatkan pembiayaan akhir bagi pembelian rumah di Selangor.

Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, kerajaan negeri berbesar hati dan gembira dengan pengumuman yang dibuat Perdana Menteri itu.

"Selepas ini, pinjaman boleh dibenarkan sehingga 120 peratus bagi rumah yang berharga bawah RM300,000.

"Perumahan Idaman (rumah mampu milik) adalah sebahagian daripada kelompok itu (rumah berharga RM300,000 ke bawah) dan saya rasa dengan pengumuman berkenaan, kita akan dapat menyelesaikan masalah pembiayaan peringkat akhir bagi rakyat yang ingin membeli rumah.

"Malah data Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor (LPHS) menunjukkan 60 peratus yang kita tawarkan rumah menolak kerana berdepan masalah pinjaman.

"Diharapkan dengan pengumuman PM, akan membantu kita dalam pembangunan perumahan, mengurangkan projek terbengkalai atau memastikan tiada unit rumah tidak terjual kerana masalah kemampuan untuk mendapatkan pinjaman," katanya pada majlis pelancaran pecah tanah Idaman Cahaya di sini, hari ini.

Amirudin (tengah) melihat replika rumah contoh Idaman Sari dan Idaman Cahaya 2 pada Majlis Pecah Tanah Rumah Cahaya serta Pelancaran Rumah Idaman Sari di Tapak Projek Idaman Cahaya, Cahaya Alam, Seksyen U12, Shah Alam. FOTO FAIZ ANUAR

Turut hadir, Exco Perumahan, Kesejahteraan Bandar dan Pembangunan Usahawan Selangor, Rodziah Ismail dan Ketua Pegawai Eksekutif PNSB, Raja Ahmad Shahrir Iskandar Raja Salim.

Semalam Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan skim pinjaman menerusi Syarikat Jaminan Kredit Perumahan (SJKP) akan ditambah baik dengan menyediakan jaminan pembiayaan sehingga 120 peratus daripada harga rumah bernilai sehingga RM300,000.

Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata, kerajaan mendengar keluh-kesah rakyat berkaitan hasrat memiliki rumah pertama yang tertangguh kerana tidak mampu menyediakan deposit pembelian rumah.

 

(Web source: https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2023/07/992776/jaminan-pembiayaan-hingga-120-peratus-atasi-masalah-pembelian-rumah)