Kerajaan laksana beberapa inisiatif galak kadar pemilikan rumah

Malaysia Tribune, 28 August 2025

KUALA LUMPUR – Kerajaan melaksanakan beberapa inisiatif bagi menambah kadar pemilikan rumah dalam kalangan rakyat.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, berdasarkan Laporan Survei Pendapatan dan Isi Rumah (HIES) 2022, kadar pemilikan rumah dalam negara kini adalah pada 76.5 peratus, diikuti 20.3 peratus yang menyewa dan 3.3 peratus menghuni di kuarters.

“Justeru, bagi meningkatkan akses kepada pembiayaan perumahan, Kerajaan juga telah melaksanakan beberapa inisiatif.

“Antaranya, Skim Jaminan Kredit Perumahan (SJKP) khusus bagi golongan B40 dan M40. Kerajaan telah menyediakan jaminan pembiayaan sehingga RM500,000 bagi pembelian rumah pertama, sama ada rumah baharu atau rumah sedia ada dan lelongan,” katanya.

Anwar berkata demikian ketika Waktu Pertanyaan Perdana Menteri (PMQT) di Dewan Rakyat, di sini hari ini.

Sepanjang pelaksanaan SJKP sejak 2008 hingga 31 Mei 2025, kata Anwar, sebanyak 88,507 permohonan telah diluluskan melibatkan jaminan pinjaman bernilai RM20.9 bilion.

Bagi 2025, Perdana Mentei berkata dana tersebut ditambah sebanyak RM10 bilion lagi menjadikan jumlah keseluruhan peruntukan SJKP kepada RM30 bilion.

“(Pada masa yang sama) Kerajaan turut melancarkan pelaksanaan Skim Sewa-untuk-Beli (RTO) khusus bagi Program Perumahan Rakyat (PPR) atau Program
Residensi Rakyat (PRR) di bawah seliaan KPKT (Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan).

“Skim ini dilaksanakan di tujuh buah negeri iaitu Kedah, Kelantan, Pulau Pinang, Negeri Sembilan, Selangor, Terengganu dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur,” katanya lagi.

 

(Web Source: https://malaysiatribune.news/berita-semasa/kerajaan-laksana-beberapa-inisiatif-galak-kadar-pemilikan-rumah/)