Kerajaan utama tambah baik cukai semasa, kata Menteri
Free Malaysia Today, 4 March 2024
Menteri Kewangan II Amir Hamzah Azizan berkata semakan semula kadar cukai perkhidmatan wajar untuk meningkatkan hasil kerajaan dan mengagihkan semula hasil bagi membantu masyarakat.
KUALA LUMPUR: Kerajaan akan mengutamakan untuk menambah baik sistem cukai semasa sebelum menilai keperluan memperkenalkan cukai baharu seperti cukai barang dan perkhidmatan (GST), kata Menteri Kewangan II Amir Hamzah Azizan.
“Saya fikir GST adalah struktur cukai yang sentiasa kita lihat dengan teliti, dan ia akan mengambil sedikit masa sebelum kita mengkaji segala-galanya.
“Tetapi pada masa ini, fokus kita sebenarnya adalah (menggunakan) instrumen yang kita ada seperti SST (cukai jualan dan perkhidmatan) dan sebagainya,” katanya kepada pemberita selepas majlis Peluncuran Skim Jaminan Pembiayaan Perniagaan dan Skim Jaminan Kredit Perumahan – Belanjawan 2024.
Mengenai kenaikan kadar cukai perkhidmatan dan pelaksanaan cukai barang bernilai rendah, Amir berkata kerajaan akan mengadakan lebih banyak perbincangan dengan pihak berkepentingan sebelum memperkenalkan langkah cukai baharu bagi mengelakkan kekeliruan berulang.
“Jika anda perhatikan, kadar cukai perkhidmatan yang meningkat daripada 6% kepada 8% telah diperkenal dan diumumkan dalam Belanjawan 2024, dan sebenarnya, banyak perbincangan diadakan dengan pelbagai kumpulan untuk memastikan kita mengetahui apakah perkara-perkara utama.
“Pada masa sama, apa juga kenyataan dikeluarkan, kadang-kadang komunikasi sepatutnya dilakukan dengan lebih baik lagi, dan kami perlu menambahbaiknya lagi,” katanya.
Beliau berkata, semakan semula kadar cukai perkhidmatan itu adalah wajar untuk meningkatkan hasil kerajaan dan mengagihkan semula hasil yang dikumpul bagi membantu masyarakat yang memerlukan.
Amir juga bersetuju dengan langkah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup meningkatkan penguatkuasaan bagi mengekang perniagaan tidak terlibat kenaikan itu daripada mengeksploitasi kadar cukai yang lebih tinggi dengan menaikkan harga.
“Saya fikir ramai rakyat Malaysia juga boleh memainkan peranan mereka dengan membuat aduan sekiranya mereka merasakan bahawa harga dinaikkan (tetapi) tidak selari dengan kenaikan cukai perkhidmatan,” katanya.
Seperti diumumkan Perdana Menteri Anwar Ibrahim semasa pembentangan Belanjawan 2024 Oktober tahun lalu, kadar cukai perkhidmatan akan dinaikkan kepada 8% daripada 6% bermula Mac 2024, manakala kadar cukai barang bernilai tinggi akan dikenakan antara 5% dan 10% mulai Mei.
(Web source: https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/tempatan/2024/03/04/kerajaan-utama-tambah-baik-cukai-semasa-kata-menteri/)