PEMBIAYAAN HINGGA 120 PERATUS SJKP REALISASI HASRAT RAKYAT MILIKI RUMAH IDAMAN

Bernama Malay 27 July 2023

JOHOR BAHRU, 27 Julai (Bernama) -- Penambahbaikan skim pinjaman Syarikat Jaminan Kredit Perumahan (SJKP) menerusi jaminan pembiayaan sehingga 120 peratus daripada harga rumah bernilai hingga RM300,000, membantu rakyat merealisasikan hasrat memiliki kediaman sendiri.

Timbalan Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata langkah itu memberi manfaat khususnya kepada mereka yang sebelum ini terhalang untuk memiliki kediaman pertama disebabkan kekangan kewangan.

"Apabila jaminan itu dinaikkan kepada 120 peratus, ia membolehkan peminjam yang mungkin sebelum ini terhalang untuk mendapatkan pinjaman itu, mendapat kemudahan pinjaman untuk membeli rumah,” katanya.

Beliau berkata kepada pemberita selepas Majlis Pelancaran Ekspo Hartanah Johor (JPEX) 2023 di Padang Akasia, Angsana Johor Bahru Mall di sini, hari ini yang dirasmikan oleh Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi.

Sementara itu, Onn Hafiz dalam ucapan perasmiannya menzahirkan ucapan terima kasih kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim atas pengumuman mengenai jaminan kerajaan sehingga RM5 bilion di bawah SJKP dalam membantu rakyat memiliki rumah.

"Saya difahamkan dalam skim tersebut, kerajaan Persekutuan menerusi MoF (Kementerian Kewangan) menjadi penjamin kepada pembeli... terima kasih Perdana Menteri kerana mengutamakan sektor perumahan," katanya.

Terdahulu, Anwar ketika berucap pada Majlis Peluncuran Ekonomi MADANI: Memperkasa Rakyat, mengumumkan SJKP akan ditambah baik dengan menyediakan jaminan pembiayaan sehingga 120 peratus daripada harga rumah bernilai sehingga RM300,000.

Anwar dilaporkan berkata jaminan 120 peratus itu akan membolehkan semua kos pemilikan rumah ditampung menerusi pinjaman, termasuk jumlah pembiayaan pokok, yuran guaman, yuran penilaian dan insurans serta pembelian perabot dan kos ubah suai.

-- BERNAMA

 

(Web source: https://www.bernama.com/bm/am/news.php?id=2210405)