Penambahbaikan SJKP Bantu B40 Miliki Rumah, Penerangan Terperinci Perlu Dibuat
Bernama Malay, 31 Julai 2023
IPOH, 31 Julai (Bernama) -- Hasrat kerajaan untuk membantu lebih ramai golongan berpendapatan rendah (B40) memiliki rumah akan tercapai dengan penambahbaikan skim pinjaman Syarikat Jaminan Kredit Perumahan (SJKP).
Seorang penjawat awam Zulfadhli A’dil, 35, berkata inisiatif yang menarik itu seharusnya diperincikan secara mendalam agar dapat difahami serta dirasai manfaatnya oleh golongan sasar.
“Selepas penaiktarafan terhadap skim ini dibuat, saya fikir agensi-agensi yang terlibat mungkin perlu turun ke lapangan atau menggunakan platform media sosial untuk menerangkan secara terperinci tentang perkara ini kepada rakyat agar ia mudah difahami,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Majlis Peluncuran Ekonomi MADANI: Memperkasa Rakyat semalam, mengumumkan SJKP akan ditambah baik dengan menyediakan jaminan pembiayaan hingga 120 peratus daripada harga rumah bernilai hingga RM300,000.
Anwar berkata jaminan pembiayaan itu akan membolehkan semua kos pemilikan rumah ditampung menerusi pinjaman, termasuk jumlah pembiayaan pokok, yuran guaman, yuran penilaian dan insurans serta pembelian perabot dan kos ubah suai.
Sementara itu, penjawat awam Qistina Izfarina Ahmad Fahmi, 30, berkata dengan situasi ekonomi yang semakin mencabar dan kuasa membeli yang semakin berkurangan ketika ini menyebabkan sesetengah pihak terutamanya golongan muda teragak-agak untuk membeli rumah.
"Saya berharap skim pinjaman ini diperluas untuk rumah subjualan atau rumah lelongan sekali gus dapat menyelesaikan masalah rumah-rumah pusaka yang tidak dapat dijual disebabkan pasaran harga yang terlampau tinggi," katanya.
Bagi Pengerusi Persatuan Kelab-Kelab Belia Malaysia (MAYC) Perak Muhammad Naim Al-Amin, skim jaminan kredit perumahan yang diwujudkan memberi ruang dan peluang kepada rakyat termasuk golongan yang tidak mempunyai pendapatan tetap untuk memiliki kediaman sendiri.
“Kalau dilihat sebelum ini, teras utama kepada pembelian rumah bergantung kepada deposit pendahuluan serta pelbagai dokumen lain yang sebelum ini menafikan hak golongan ini.
“Dengan penaiktarafan skim ini, ia akan lebih memudahkan golongan B40 termasuk pekerja ‘e-hailing’ yang tidak mempunyai pendapatan tetap untuk memiliki rumah sendiri,” katanya.
-- BERNAMA
(Web source: https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2211485)