PERUNTUKAN RM2.47 BILION UNTUK PERUMAHAN AWAM PUPUK LANDSKAP PERUMAHAN YANG SAKSAMA – JUWAI IQI
Bernama Malay, 14 Oktober 2023
Kashif Ansari
KUALA LUMPUR, 14 Okt (Bernama) -- Peruntukan dalam Belanjawan 2024 khusus untuk perumahan, termasuk RM2.47 bilion bagi pembinaan projek perumahan rakyat (PPR) dan kadar rata empat peratus duti setem ke atas memorandum pemindahan (MoT) oleh bukan warganegara dan syarikat milik asing kecuali penduduk tetap, mampu memupuk landskap perumahan yang lebih saksama, kata Juwai IQI.
Peruntukan lain ialah seperti RM23.37 bilion untuk memulihkan projek sakit merangkumi kirakira 28,000 kediaman, RM2.47 bilion untuk projek perumahan awam, RM1 bilion untuk memulihkan projek terbengkalai yang dikenal pasti, RM10 bilion untuk Skim Jaminan Kredit Perumahan, serta lebih RM1 bilion untuk mengekalkan PPR, membina rumah mampu milik, menyelenggara perumahan dan menambah baik infrastruktur perumahan serta membaiki harta benda untuk individu luar bandar yang kurang bernasib baik.
Dalam satu kenyataan hari ini, Pengasas Bersama dan Ketua Eksekutif Kumpulan Kashif Ansari berkata pembaharuan duti setem pindah milik hartanah akan menghasilkan struktur yang dipermudahkan, mewujudkan kadar rata RM10 untuk transaksi yang mana benefisiari menyerahkan hak mereka kepada waris yang layak di bawah wasiat, Faraid atau Akta Pembahagian 1958.
“Sistem baharu ini menandakan keluarnya daripada rangka kerja yang sebelum ini rumit, menghapuskan pergantungan pada penilaian hartanah untuk menentukan kos duti setem. "Langkah-langkah mudah seperti pembaharuan duti setem mungkin tidak memberi kesan besar kepada pasaran tetapi ia menjadikan urus niaga kurang rumit dan tertekan, yang akhirnya baik untuk semua orang," katanya.
Mengenai infrastruktur, Kashif berkata Belanjawan 2024 memperuntukkan pembiayaan beberapa projek yang akan memberi impak positif jangka panjang ke atas harga hartanah, termasuk RTS Link dengan Singapura, yang menunjukkan potensi peningkatan dalam bilangan penduduk rentas sempadan di Johor sebanyak 50,000 pada 2030.
Beliau berkata projek-projek lain yang akan menaikkan harga hartanah dan mengubah corak penggunaan ialah Lebuh Raya Central Spine Road dan Lebuh Raya Pan Borneo Sabah dan Sarawak.
Selain itu, beliau berkata peraturan visa dalam Belanjawan 2024 secara tidak langsung harus meningkatkan permintaan dalam pasaran perumahan dengan perubahan kepada Malaysia My Second Home (MM2H) mungkin menjadi lebih signifikan.
"Dijangkakan lebih banyak permintaan daripada pembeli asing untuk rumah mewah dan lebih banyak permintaan daripada pelabur yang berharap untuk mengendalikan sewa bagi penginapan jangka pendek," tambahnya.
Sementara itu, mengenai rumah mampu milik, Pengurus Negara PropertyGuru Malaysia Sheldon Fernandez berkata peruntukan RM546 juta untuk membangunkan secara berterusan 36 PPR, termasuk projek baharu di Kluang, Johor, akan menjadi kunci dalam menstabilkan pasaran hartanah sedia ada.
Beliau juga berkata inisiatif menambah peruntukan bagi Skim Kredit Perumahan sedia ada kepada RM10 bilion, yang memberi manfaat kepada 40,000 rakyat Malaysia, boleh menggalakkan bakal pembeli rumah mengambil langkah pertama untuk memenuhi impian pemilikan rumah mereka. – BERNAMA
(Web source: https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2234949)