Program MADANI Rakyat 2024 Sarawakku Sayang perkukuh inisiatif PETRA di Bumi Kenyalang

Utusan TV, 26 September 2024

PROGRAM MADANI Rakyat 2024 Sarawakku Sayang yang bakal diadakan mulai esok, 27 September hingga Ahad, 29 September ini bertujuan memperkenalkan pelbagai inisiatif yang dilaksanakan kerajaan untuk kesejahteraan rakyat.

Untuk kali ini, Program MADANI Rakyat 2024 Sarawakku Sayang akan berlangsung di Pekarangan Boulevard Mall, Miri, Sarawak.

Program tersebut dianjurkan Pejabat Perdana Menteri melalui Unit Penyelarasan Lonjakan Prestasi (PACU) dengan kerjasama strategik Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) selaku kementerian peneraju.Pada masa sama, Kerajaan Negeri Sarawak bertindak selaku tuan rumah.

Majlis perasmian Program MADANI Rakyat 2024 akan disempurnakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada pukul 2.30 petang Sabtu ini dengan turut dihadiri kepemimpinan tertinggi Kerajaan Persekutuan dan Sarawak.

Susulan sambutan Setahun Ekonomi MADANI yang diadakan bulan lalu, Program MADANI Rakyat 2024 Sarawakku Sayang turut menjadi platform menyampaikan maklumat pencapaian dan manfaat Ekonomi MADANI kepada rakyat.

Ia melalui inisiatif yang diperkenalkan kerajaan seperti Sumbangan Asas RAHMAH; bantuan awal persekolahan; perkhidmatan pembiayaan mikro; skim jaminan kredit perumahan dan pencapaian Pelan Induk Perindustrian Baru 2030 (NIMP 2030) serta Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR).

Pelbagai pengisian dan aktiviti menarik di Pavilion PETRA sepanjang Program MADANI Rakyat 2024 Sarawakku Sayang

Sebagai kementerian peneraju, PETRA juga akan membawakan pelbagai aktiviti dan pengisian menarik terus kepada warga Sarawak.

Ini termasuk baucar program Sustainability Achieved Via Energy Efficiency (SAVE) 4.0 oleh Pihak Berkuasa Pembangunan Tenaga Lestari (SEDA) Malaysia dan kaunter semakan serta program Rebat Bil Elektrik RM40 oleh Bahagian Bekalan Elektrik dan Sarawak Energy (SEB).

Di samping itu, PETRA juga membawakan pameran dan tips jimat air dan produk cekap air oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) serta pameran Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).

Orang ramai yang hadir pada program kali ini merasai secara langsung lebih 200 perkhidmatan kerajaan yang memberi tumpuan kepada aktiviti kesejahteraan rakyat; agenda perpaduan serta karnival kerjaya di samping perkhidmatan tenaga, air, pertanian dan keterjaminan makanan.

Lebih menarik, Jualan MADANI yang menawarkan potongan harga dan tawaran istimewa bagi barangan keperluan harian akan turut disediakan kepada pengunjung.

 Pelbagai pengisian dan aktiviti menarik di Pavilion PETRA sepanjang Program MADANI Rakyat 2024 Sarawakku Sayang

Pengunjung yang hadir juga berpeluang bertemu dengan atlet-atlet muda yang telah mengharumkan nama Sarawak pada Sukan Malaysia (Sukma) XXI baru-baru ini menerusi program ‘Meet & Greet Sukma Superstars’ yang dikendalikan Kementerian Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak (MYSED).

Kerajaan Negeri Sarawak juga membawakan secara terus perkhidmatan kepada rakyat termasuk Bantuan Pinjaman Rumah Panjang; Pendaftaran Petani melalui Sistem e-Tani; Bantuan ibu Bersalin; Geran Tahunan Khas; Bantuan Ketua Isi Rumah Wanita; Geran Pemerkasaan NGO; Bantuan Pesakit Buah Pinggang serta Kad Emas Kenyalang.

Selain itu, orang awam juga berpeluang mendapatkan perkhidmatan seperti Faedah Kesihatan Warga Emas, Subsidi Tambang Bas dengan Kadar Rata RM1 dan Skim Bantuan Bayaran Sewa Rumah.

Bagi memudahkan perjalanan pengunjung, Kerajaan Negeri Sarawak akan menyediakan perkhidmatan bas pengangkutan secara percuma pada hari Jumaat dan Sabtu pada pukul 8 pagi hingga 12 tengah malam serta pada hari Ahad bermula pukul 8 pagi hingga 8 malam.

Perkhidmatan itu melibatkan kawasan parkir kenderaan Stadium Bandaraya Miri serta perhentian bas berhadapan Boulevard Mall Miri dengan selang masa antara 20 hingga 30 minit.

Berita baik kepada orang ramai yang hadir apabila turut disediakan kaunter saman Polis Diraja Malaysia (PDRM) di samping perkhidmatan penebusan baucar buku dan Pakej Telco RAHMAH.

Program MADANI Rakyat 2024 merupakan kesinambungan kepada Program Setahun Bersama Kerajaan MADANI yang diadakan di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur pada Disember 2023.

Pelbagai pengisian dan aktiviti menarik di Pavilion PETRA sepanjang Program MADANI Rakyat 2024 Sarawakku Sayang

Program itu diteruskan ke peringkat negeri mengikut zon bagi memberi peluang kepada masyarakat setempat untuk bersama-sama memahami dan menilai dasar serta inisiatif yang dilaksanakan oleh Kerajaan MADANI.

Program berkenaan juga menyediakan ruang bagi masyarakat untuk mendapatkan perkhidmatan secara langsung daripada kementerian dan agensi di peringkat kerajaan Persekutuan dan negeri.

 

(Web source: https://utusantv.com/2024/09/26/program-madani-rakyat-2024-sarawakku-sayang-perkukuh-inisiatif-petra-di-bumi-kenyalang/)