Putrajaya sedia RM2.47 bilion bagi projek perumahan rakyat
The Malaysian Insight, 13 Oktober 2023
Perdana Menteri Anwar Ibrahim ketika pembentangan Belanjawan 2024 hari ini berkata 15 buah PPR dijangka siap tahun depan untuk manfaat 5,100 bakal penghuni baharu. – Gambar fail The Malaysian Insight, 13 Oktober, 2023.
KERAJAAN memperuntukkan sejumlah RM2.47 bilion bagi melaksanakan projek perumahan rakyat bagi tahun depan, kata Perdana Menteri Anwar Ibrahim.
Anwar yang juga menteri kewangan berkata, ia termasuk dana jaminan khas sebanyak RM1 bilion bagi menggalakkan pemaju berwibawa memulihkan projek terbengkalai yang telah dikenal pasti.
Beliau berkata setakat Ogos tahun ini 256 projek sakit atau lebih 28,000 unit rumah telah dipulihkan melibatkan Nilai Pembangunan Kasar RM23.37 bilion.
“Selain itu RM546 juta disediakan bagi meneruskan 36 Program Perumahan Rakyat (PPR) termasuk satu projek baharu di Kluang, Johor.
“Insya-Allah 15 buah PPR dijangka siap tahun hadapan untuk manfaat 5,100 bakal penghuni baharu,” katanya ketika membentangkan Belanjawan 2024 Malaysia Madani di Dewan Rakyat hari ini.
Anwar berkata 14 Program Rumah Mesra Rakyat juga diteruskan bagi membina 3,500 unit rumah melibatkan RM358 juta selain peruntukan RM460 juta bagi menyediakan bantuan kepada kira-kira 65,000 rakyat susah di desa untuk membina baharu atau membaik pulih rumah yang telah daif.
Tambahnya RM100 juta disediakan untuk menyelenggara perumahan berstrata kos rendah dan sederhana awam dan swasta di seluruh negara termasuk kerja-kerja membaiki tangki air, bumbung, sistem pendawaian serta memasang kamera litar tertutup.
Menurutnya peruntukan Skim Jaminan Kredit Perumahan pula akan ditambah sehingga RM10 bilion bagi manfaat 40,000 peminjam.
Dalam pada itu, bagi memudahkan pembangunan semula skim strata, Anwar berkata ambang persetujuan penduduk untuk jualan en-block akan dikurangkan daripada 100 peratus kepada tahap yang konsisten berdasarkan amalan antarabangsa seperti di Singapura.
“Di bawah pentadbiran kerajaan perpaduan, kerajaan telah mengambil alih pembangunan Bandar Malaysia bagi memastikan tanah-tanah strategik dimanfaatkan sebaiknya untuk projek rakyat berteras nilai Madani,” katanya.
Anwar berkata kerajaan juga akan memperuntukkan RM100 juta kepada Kampung Baru Cina bagi menyediakan kemudahan infrastruktur asas dan kemudahan sosial.
Sementara itu, dalam usaha mengawal harga harta tanah, perdana menteri berkata kerajaan bercadang mengenakan duti setem pada kadar rata empat peratus ke atas surat cara pindah milik harta tanah oleh individu bukan warganegara dan syarikat milik asing kecuali individu pemastautin tetap di Malaysia.
“Kerajaan turut bercadang pada tahun hadapan, surat cara pindah milik harta tanah melibatkan benefisiari melepaskan hak kepada benefisiari yang layak mengikut wasiat atau faraid atau Akta Pembahagian 1958 hanya dikenakan duti setem sebanyak RM10 ketimbang kadar ad-valorem sebelum ini,” katanya. – Bernama, 13 Oktober, 2023.
(Web source: https://www.themalaysianinsight.com/bahasa/s/466667)